WILAYAH - TENGAH > BERITA

AARON-WOOI YIK GAGAL PECAH KEMARAU 12 TAHUN DI TERBUKA MALAYSIA

11/01/2026 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) --  Harapan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menjuarai Terbuka Malaysia 2026 musnah selepas mereka tewas di di pentas final, sekali gus melanjutkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam acara tersebut.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini, pasangan pilihan kedua itu tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada gandingan pilihan utama dan juara bertahan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Pasangan nombor dua dunia itu bermula perlahan dan tewas set pertama 15-21 selepas melakukan beberapa kesilapan mudah.

Namun, juara dunia 2022 itu bangkit pada set kedua, menampilkan permainan mantap untuk mendahului 18-11 dan akhirnya memaksa set penentuan dengan kemenangan meyakinkan 21-12.

Momentum perlawanan berubah pada set penentuan apabila pasangan Korea itu mendahului 11-4, tetapi Aaron-Wooi Yik enggan menyerah, kembali menyaingi lawan sehingga jarak mata hanya satu, 18-17.

Bagaimanapun, juara bertahan itu menutup perlawanan dengan kemenangan 21-18 selepas pertarungan sengit selama satu jam enam minit.

Kekalahan ini menandakan pencarian Malaysia untuk juara beregu lelaki di pentas sendiri masih berterusan, dengan kemenangan terakhir milik Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.

Selain itu, ia turut melanjutkan penantian Aaron-Wooi Yik untuk memenangi gelaran Super 1000, selepas ini merupakan kekalahan ketujuh mereka di peringkat tersebut.

Sebagai juara beregu lelaki, Won Ho–Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai USD107,300 (RM439,232), manakala Aaron-Wooi Yik selaku naib juara menerima USD50,750 (RM207,745).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan