SUNGAI SIPUT, 11 Jan (Bernama) -- Seekor harimau belang jantan yang digelar “Yob Kinding” berjaya ditangkap, selepas memasuki perangkap yang dipasang di sebuah kebun durian berhampiran Bukit Kinding, Chemor, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata haiwan pemangsa seberat kira-kira 70 kilogram itu, didapati memasuki perangkap oleh enam anggota Perhilitan yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan kira-kira 1 tengah hari tadi.
“Pihak kami menerima laporan daripada Balai Polis Tanjung Rambutan pada pukul 8 malam semalam, selepas mereka (polis) menerima aduan daripada penduduk di Bukit Kinding yang menemukan kesan tapak kaki serta terdengar ngauman harimau di sebuah kebun durian milik persendirian.
“Hasil daripada maklumat berkenaan, pasukan kami telah melakukan rondaan dan mendapati seekor harimau belang jantan telah memasuki perangkap yang telah sedia dipasang di kawasan itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput, di sini, hari ini.
Yusoff berkata pemeriksaan yang dilakukan di Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput mendapati, mamalia tersebut berada dalam keadaan sihat serta tiada sebarang kecederaan pada mana-mana anggota badannya.
“Harimau ini akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai dalam masa terdekat, untuk rawatan susulan,” katanya.
Selain itu, beliau menafikan harimau berkenaan merupakan pemangsa sama yang berkeliaran dan membaham haiwan ternakan penduduk di sekitar Bukit Bangkong sejak 5 Dis.
“Saya rasa yang berjaya ditangkap ini adalah anak kepada harimau belang yang berkeliaran di Bukit Bangkong sebelum ini. Kita percaya yang berkeliaran di Bukit Bangkong itu ialah ibu kepada harimau ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk sekitar Bukit Bangkong supaya terus berhati-hati dan mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi tersebut.
Pada 8 Dis, penduduk Bukit Bangkong bimbang apabila dikejutkan dengan laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau, yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang pada 5 Dis.
Bertindak atas aduan penduduk, Perhilitan Perak telah memasang dua buah perangkap dan dua kamera jejak di kawasan Bukit Kinding, Chemor dan Bukit Bakong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial