WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AFFIN HWANG IB, CBOE JALIN KERJASAMA PERKENAL VIX® FUTURES DI MALAYSIA

13/01/2026 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) - Affin Hwang Investment Bank Bhd menjalin kerjasama dengan Cboe Global Markets Inc untuk memperkenalkan VIX® Futures kepada pelabur tempatan.

VIX® Futures tersenarai di Cboe Futures Exchange (CFE®). 

Langkah perintis ini menjadikan Affin Hwang Investment Bank sebagai bank pelaburan disokong bank pertama Malaysia yang membawakan inovasi global kepada pelabur tempatan.

Usaha ini adalah susulan daripada pengembangan perancangan niaga hadapan asing bank pelaburan itu sejak 2023, didorong oleh kerjasama strategik dengan peneraju pasaran global seperti CME Group.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank, Hanif Ghulam Mohammed berkata VIX® Futures ialah kontrak standard diselesaikan secara tunai yang membolehkan pelabur melindung nilai daripada jangkaan turun naik pasaran niaga hadapan.

"Ia menjejaki turun naik, dan pada asasnya, ia melonjak apabila banyak berlakunya turun naik. Ini merupakan niaga hadapan Cboe pertama kami yang kami rancang untuk lancarkan, dengan yang selebihnya dalam perancangan, termasuk pilihan untuk turun naik juga.

“Apa yang ingin kami beritahu kepada pelanggan adalah kami tidak lagi hanya perlu menggunakan produk berarah untuk berdagang, ekuiti tradisional standard, membeli dan menjual. Jadi, kami berhasrat untuk melancarkan segmen niaga hadapan depan ini sebagai satu lagi kaedah pelaburan untuk pelanggan kami,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran VIX® Futures, di sini, hari ini.

Hanif Ghulam berkata VIX® Futures pada asasnya merupakan produk yang didorong oleh turun naik yang mana pelabur boleh melindung nilai kedudukan ekuiti jangka panjang.

“Kami akan memperkenalkan lebih banyak jenis produk ini yang mana pelabur mempunyai alternatif berbeza untuk mengurus portfolio mereka, untuk mengoptimumkan pulangan mereka dan menjamin pulangan mereka bagi masa depan,” katanya.

Beliau berkata VIX® Futures membolehkan pelabur melindung nilai risiko sampingan, mempelbagaikan portfolio dan melaksanakan strategi berasaskan peristiwa berkaitan makroekonomi dan geopolitik yang memberikan kejelasan dan kawalan dalam keadaan pasaran tidak menentu.

“VIX® Futures pada asasnya didagangkan di bursa Cboe, dan sebahagian besarnya didagangkan secara meluas di peringkat antarabangsa, itulah sebabnya terdapat kecairan yang besar.

“Walaupun kami menggalakkan penyertaan dari tempatan dan luar pesisir, kami berharapkan beberapa kesan limpahan daripada dagangan VIX® Futures melalui penyertaan Affin Hwang Investment Bank akan turut melimpah ke pasaran Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pelancaran itu merangsang pertumbuhan niaga hadapan asing Affin Hwang IB ke fasa seterusnya, menggabungkan akses pasaran dengan pendidikan berstruktur dan suai tugas berdisiplin untuk membina kesediaan pelabur dan menyokong penyertaan yang lebih bermaklumat.

“Kami juga akan mendidik pelabur kami. Keseluruhan program hari ini, kami mempunyai beberapa siri pendidikan, dan ia akan berterusan, dan kami bukan sahaja mahu menjadi bank yang menjual produk kepada pelanggan kami, kami juga ingin mendidik pelanggan kami tentang instrumen yang tersedia,” katanya. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan