WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR HARTANAH MALAYSIA AKAN BERALIH KEPADA PERTUMBUHAN BERDASARKAN FUNDAMENTAL -- KNIGHT FRANK

13/01/2026 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Aktiviti utama dalam pasaran hartanah Malaysia kini tidak lagi memberikan gambaran lengkap mengenai dinamik pasaran yang mendasarinya.

Hal ini kerana hasilnya kini dipacu oleh kesediaan infrastruktur, disiplin modal dan penyelarasan dengan asas permintaan jangka panjang.

Knight Frank Malaysia berkata separuh kedua 2025 menunjukkan titik perubahan yang jelas dalam pasaran hartanah Malaysia dengan permintaan kekal stabil secara keseluruhan manakala hasil pasaran semakin terpecah, mendorong penyesuaian semula strategi pasaran sepanjang 2026.

Pengarah Urusan Kumpulannya Keith Ooi berkata, pasaran kini tidak lagi bergerak dalam satu arah sahaja.

Katanya, sepanjang enam bulan lepas, pihaknya melihat pemisahan yang jelas antara aset yang selaras dengan permintaan berstruktur dan juga sebaliknya.

"Dalam persekitaran ini, prestasi ditentukan oleh keselarasan, disiplin dan pelaksanaan, bukannya momentum semata-mata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Knight Frank, permintaan sektor perindustrian di Malaysia kekal kukuh tetapi prestasi semakin dipengaruhi oleh kesediaan infrastruktur dan kecekapan operasi dalam persekitaran yang lebih berorientasikan dasar.

Firma perunding hartanah itu berkata langkah tarif Amerika Syarikat pada 2025 mengganggu aliran perdagangan serantau dan melemahkan aktiviti dalam kalangan segmen pembuatan dan logistik yang berorientasikan eksport.

"Walaupun penggunaan domestik dan kepelbagaian pasaran eksport memberikan sokongan secara sebahagian, peningkatan kos perdagangan dan ketidaktentuan yang lebih tinggi menyebabkan permintaan sedikit melemah mengakibatkan kesan sederhana terhadap aktiviti keseluruhan pasaran perindustrian," katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Knight Frank turut menekankan sektor pusat data beralih dari fasa yang didominasi oleh pengumuman pelaburan ke fasa pelaksanaan.

Ia menambah, pertumbuhan sektor ini semakin bergantung kepada kepastian penyampaian, kesiapsiagaan tadbir urus dan akses kepada sumber kritikal.

Selain itu, ia turut menekankan projek yang berdepan kekangan dalam kelulusan, ketersediaan tenaga atau penyediaan infrastruktur yang sudah mula berdepan kelewatan pelaksanaan apabila sektor ini beralih ke fasa seterusnya.

Seiring dengan kematangan sektor ini, pelaburan pusat data pada masa hadapan semakin ditentukan oleh kemampanan, kesiapsiagaan infrastruktur dan impak pengganda ekonomi, bukannya hanya berdasarkan skala, katanya.

Secara berasingan, ia memberitahu prestasi runcit pada separuh kedua 2025 lebih kukuh daripada jangkaan, disokong oleh peruncitan barangan keperluan harian, makanan dan minuman serta format yang dipacu oleh pengalaman yang terus menyokong aliran pengunjung yang konsisten.

"Memandangkan persaingan semakin sengit, pemilik hartanah kini memberi keutamaan kepada pengekalan penyewa dan pengoptimuman campuran penyewa berbanding dengan pertumbuhan sewa utama," kata Pengurusan Runcit dan Perundingannya, Yuen May Chee.

Dalam sektor hospitaliti, aliran perjalanan yang semakin baik dan permintaan rentas sempadan yang berterusan sudah mula mempengaruhi perancangan inventori bilik dan strategi penetapan harga sementara pengendali merancang lebih awal bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Knight Frank berkata pertumbuhan dalam sektor ini semakin disokong oleh hala tuju dasar, peningkatan keterhubungan dan perjalanan yang dipacu oleh acara dan majlis.

Sementara itu, pasaran perumahan menunjukkan penyederhanaan pada separuh kedua 2025, mencerminkan sentimen pembeli yang berhati-hati di tengah-tengah tekanan berterusan terhadap kemampuan membeli selain ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.

"Permintaan kekal aktif tetapi pembeli menjadi lebih selektif disebabkan oleh aliran bekalan perumahan yang tinggi.

"Kami melihat berlaku pembetulan kendiri di pasaran-pasaran terpilih melalui disiplin harga dan produk, bukannya pemulihan secara menyeluruh," kata Pengarah Eksekutif Kanan, Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank, Judy Ong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan