WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANT INTERNATIONAL MANFAAT RANGKAIAN QR BAGI KUASAI DUA BILION TRANSAKSI DIGITAL PADA 2025

13/01/2026 08:40 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

BANGKOK, 13 Jan (Bernama) -- Penyedia pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan yang berpangkalan di Singapura,  Ant International menyokong lebih daripada dua bilion transaksi digital rentas sempadan pada 2025 bagi pedagang merentasi pasaran membangun terasnya, termasuk Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah dan Amerika Latin. 

Presiden Ant International Douglas Feagin berkata syarikat itu sedang mempercepatkan pelancaran penyelesaian kewangan dan perdagangan berkuasa kecerdasan buatan (AI), yang disesuaikan untuk keperluan pasaran tempatan. 

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada usaha itu, gerbang dompet global syarikat, iaitu Alipay+, bekerjasama dengan 11 rangkaian pembayaran kod respons pantas (QR) kebangsaan di seluruh dunia, menawarkan suit penyelesaian teknologi pembayaran mudah alih dan pendigitalan rentas sempadan.

Ia sekali gus membolehkan penyedia perkhidmatan pembayaran mudah alih menghubungkan pedagang global dengan pengguna. 

“Di ASEAN, Alipay+ bekerjasama dengan lima rangkaian pembayaran QR kebangsaan. 

“Di Singapura dan Malaysia, pelancong masing-masing berbelanja 2.7 kali ganda dan dua kali ganda lebih banyak, menerusi SGQR dan QR DuitNow, menjana nilai ekonomi yang ketara untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Di Malaysia, pelancong boleh menggunakan e-dompet rumah atau aplikasi bank mereka untuk membuat pembayaran di lebih 360,000 PKS di seluruh negara, membolehkan perniagaan ini mendapat manfaat secara langsung daripada pertumbuhan pelancongan,” katanya pada taklimat media Ant International hari ini.

Feagin berkata di Asia Tenggara, Ant International telah bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan selama lebih sedekad dan PKS boleh melihat dan mengukur kesannya terhadap perniagaan.

Beliau menambah Alipay+ terus menjadi pemacu utama dalam transaksi pembayaran QR di Malaysia menerusi DuitNow, dengan perbelanjaan pelancongan melalui QR DuitNow meningkat dua kali ganda, memberi manfaat kepada lebih 360,000 PKS dengan membolehkan pembayaran mudah alih rentas sempadan daripada pelancong global.

Katanya, peningkatan perbelanjaan pelancong terhadap makanan tempatan, pengalaman berasaskan alam semulajadi, aktiviti sukan, selain perkhidmatan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan, sekali gus menyokong masyarakat dan peniagaan tempatan. 

Feagin berkata dalam pasaran yang baharu muncul yang paling pesat berkembang di dunia, penerapan AI dan teknologi baharu lain di dunia sebenar, yang boleh dipercayai dan diskala, dapat membuka peluang pertumbuhan serba baharu bagi semua saiz perniagaan. 

“Sudah tiba masanya untuk pereka baru teknologi kewangan menukar akses kepada momentum pertumbuhan sebenar.

“Kami akan berusaha lebih kuat untuk melaksanakan pembayaran digital, pembiayaan, perdagangan dan penyelesaian rentas sempadan berkuasakan AI bagi usahawan dan komuniti, dengan kos yang semakin rendah dan halangan keselamatan yang semakin kukuh,” katanya. 

Dengan menggabungkan kepakaran tempatan dengan peralatan AI mudah suai, Feagin berkata platform pembayaran pembayaran lengkap syarikat, iaitu 2C2P di Asia Tenggara dan MultiSafepay di Eropah, kini menyokong pelbagai perniagaan, daripada syarikat penerbangan serantau, peneraju dalam talian ke luar talian (O2O) dan e-dagang kepada PKS tempatan.

Sementara itu, aplikasi PKS berkuasakan AI Ant International, iaitu EPOS360, mengintegrasikan alatan AI praktikal dengan sistem tempat jualan (POS), pembayaran, perbankan, pembiayaan dan operasi pertumbuhan untuk perniagaan kecil.

EPOS360 telah diumumkan pada November 2025 dan akan dilancarkan di Singapura dan Malaysia tidak lama lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan