KOTA BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Polis Kelantan menahan dua beradik lelaki dan merampas beberapa senjata api buatan sendiri yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mengutip hutang along dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok, dekat sini semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan, kira-kira pukul 5 petang.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun yang merupakan adik-beradik.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu laras senapang buatan sendiri, dua pucuk pistol buatan sendiri, dua pucuk pistol tiruan, dua kelopak peluru, satu sarung pistol serta 27 biji ‘caliber powder ramset’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata turut dirampas ialah sebuah motosikal dan tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan kutipan hutang itu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengambil upah sebagai pengutip hutang bagi beberapa sindiket ‘along’ di Kelantan dengan menggunakan senjata api dan pistol tiruan bagi menakut-nakutkan mangsa (penghutang).
“Setakat ini, polis menerima sekurang-kurangnya lima pengakuan awal membabitkan lima kes kutipan hutang‘along, dengan anggaran hasil kutipan mencecah RM200,000 sejak Oktober 2025,” katanya.
Menurutnya kegiatan itu lebih tertumpu di daerah Bachok dan suspek akan menerima upah daripada mana-mana along yang mendapatkan khidmat mereka.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah serta narkotik,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menjejaki pergerakan seorang wanita yang dipercayai dalang utama sindiket rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta.
“Setakat ini, pemeriksaan telah dilakukan di rumah bekas keluarga mereka, namun individu terbabit dipercayai berada di negara jiran, Thailand. Justeru, polis meminta kerjasama rakan sejawatan di negara berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis memburu seorang wanita dikenali sebagai ‘Luna’ berusia lingkungan 30-an yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan penahanan tiga individu dan rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai, minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial