WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES SETPOL HAMZAH: PENDAKWAAN BANTAH PERMOHONAN PADAM BEBERAPA PERENGGAN PERNYATAAN SAKSI 

14/01/2026 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad untuk memadamkan enam perenggan dalam pernyataan saksi penting pendakwaan.

Enam perenggan itu termasuk pembayaran lima peratus daripada nilai projek berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi berkata permohonan pihak pembelaan untuk memadamkan perenggan tiga hingga lapan dalam pernyataan saksi pendakwaan ke-12 iaitu Pengarah dan Pemegang Saham Nexuscorpgroup Sdn Bhd, Ismuni Johari itu adalah pramatang.

"Pihak pendakwaan belum membuat pemeriksaan utama saksi lagi, macam mana pihak pembelaan boleh tahu apa yang dinyatakan dalam pernyataan bertulis adalah tidak relevan dengan kes ini. Pihak pembelaan juga masih boleh soal balas saksi.

"Perenggan tiga hingga lapan hanya naratif pendakwaan untuk tunjuk kenapa kita hanya dakwa tertuduh berkenaan jumlah RM350,000 sahaja," katanya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.

Terdahulu, peguam Asmadi Hussin yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir berkata perenggan tiga hingga lapan dalam pernyataan saksi terbabit adalah tidak relevan dengan pertuduhan dan memprejudiskan anak guamnya.

"Seksyen 136 Akta Keterangan 1950 memberi kuasa kepada mahkamah untuk memutuskan tentang kebolehterimaan keterangan”, kata Asmadi yang mengendalikan kes itu bersama peguam Md Yunos Shariff.

Hakim Rosli Ahmad meminta pihak pembelaan untuk memasukkan permohonan tersebut di dalam hujahan dan akan memutuskannya semasa memberi keputusan di akhir kes pendakwaan.

Perbicaraan kes itu bersambung 22 Julai ini.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd Wan Azhar Mohamed Yusof.

Wang berkenaan didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada 4 petang, 4 Dis 2020, dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang awal Disember 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan