SHAH ALAM, 14 Jan (Bernama) -- Nasib nyata menyebelahi Mohd Hafizuddin Shoeib, 35, apabila berjaya memenangi hadiah utama iaitu Proton e.MAS bernilai RM120,000 berserta wang tunai RM5,000 bersempena Peraduan e.MAS atau EMAS yang telah berlangsung dari 4 Ogos hingga 3 Nov 2025.
Peraduan berkenaan yang dianjurkan penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama rangkaian pembayaran negara Malaysia, PayNet disertai lebih 19,000 peserta seluruh negara.
Mohd Hafizuddin yang bekerja sebagai kerani pejabat berkata dia langsung tidak menjangkakan kemenangan itu kerana hanya berbelanja kira-kira RM250 untuk memperbaharui insurans motosikal di pejabat pos pada September lepas.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, Mohd Hafizuddin berkata dia menyertai peraduan melalui imbasan kod respons pantas (QR).
“Saya memang gembira sangat kerana apabila mengingati semula, ketika itu saya dah nak keluar dari pejabat pos, tetapi staf panggil dan minta saya imbas kod QR untuk penyertaan. Saya cuma berharap menang baucar RM100 sahaja, tak sangka pula dapat hadiah utama kereta.
“Pegawai Pos Malaysia telefon tiga hingga empat kali dan saya siap minta pengesahan daripada pihak pengendali peraduan tetapi bila mereka telefon dan sahkan, barulah saya betul-betul percaya,” katanya yang ditemani isteri Nor Hartini Abdul Ghani, 35, di Proton E.Mas Eon Glenmarie HQ 2, Seksyen U1 di sini semalam.
Selain hadiah utama, kempen itu turut menawarkan hadiah bulanan merangkumi tiga unit televisyen pintar Hisense 55 4K, empat hadiah wang tunai RM1,000, 12 baucar membeli-belah AEON serta 42 kad petrol, manakala sebanyak 16 pemenang mingguan dalam talian masing-masing menerima syiling emas seberat 0.5 gram.
Antara pemenang bertuah yang turut hadir ialah Mohd Khazli Firdauz Khalid iaitu pemenang hadiah pertama Oktober yang menerima sebuah TV Pintar LED 4K 55 inci, Nazali Zenal sebagai Pemenang Hadiah Kedua Ogos (RM1,000), Mohd Yunus Abdul Hamid selaku Pemenang Hadiah Kedua Oktober (RM1,000) serta Mohamad Fawzee Ahmad sebagai Pemenang Eksklusif Dalam Talian Oktober (emas).
Sementara itu, Ketua Pegawai Runcit Pos Malaysia Berhad Khazalin Ghuzal berkata kempen berkenaan adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan PayNet untuk mempercepat penggunaan pembayaran tanpa tunai dan transaksi digital di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif itu memanfaatkan rangkaian luas dan jumlah transaksi Pos Malaysia untuk mempromosikan kaedah pembayaran yang selamat selain mudah seperti MyDebit, FPX serta DuitNow QR bagi mengurangkan pergantungan kepada wang tunai sambil meningkatkan pengalaman pelanggan.
Sepanjang kempen, katanya pelanggan digalakkan berbelanja minimum RM150 dalam satu resit di mana-mana cawangan Pos Malaysia menggunakan MyDebit atau DuitNow QR.
“Dengan memanfaatkan rangkaian runcit kami yang luas, kami telah mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk pelanggan dan perniagaan, sambil mendorong pertumbuhan kesedaran dan penukaran yang ketara di setiap segmen.
“Kami berbangga menerajui masa depan tanpa tunai yang menawarkan lebih kemudahan dan kepantasan sambil kekal setia kepada komitmen kami dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet Azrul Fakhzan Mainor berkata melalui integrasi MyDebit dan DuitNow QR di semua cawangan Pos Malaysia, pembayaran tanpa tunai menjadi selamat dan lancar.
Beliau berkata pembayaran tanpa tunai merupakan sebahagian kaedah yang mudah digunakan oleh rakyat Malaysia termasuk komuniti yang sering bergantung kepada Pos Malaysia untuk keperluan harian.
“Kerjasama strategik kami dengan Pos Malaysia menunjukkan betapa mudahnya rakyat Malaysia boleh menggunakan pembayaran digital di seluruh negara.
“Dengan memperluas titik pembayaran digital di seluruh negara, kami berharap lebih ramai rakyat dapat merasai kemudahan pendigitalan dalam kehidupan seharian, selaras dengan matlamat negara untuk pertumbuhan kewangan inklusif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial