WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERBEZAAN POLITIK TANPA KEBIJAKSANAAN BOLEH RUNTUHKAN KERAJAAN – MOHAMAD HASAN

14/01/2026 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan perbezaan politik membarah tanpa kebijaksanaan kerana perkara itu boleh membawa kepada keruntuhan kerajaan.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata perkara itu telah disaksikan di beberapa negara apabila pertelingkahan politik tidak terkawal yang mampu melumpuhkan institusi negara.

Beliau berkata sekiranya kerajaan runtuh tanpa pelan penggantian jelas, yang lahir bukanlah kebebasan, tetapi kekosongan kuasa.

"Apabila politik menjadi medan dendam, pihak ekstrem muncul. Apabila kepimpinan berpecah, campur tangan asing mula mengintai.

"Inilah yang akan berlaku apabila kemarahan mengatasi kebijaksanaan dan apabila kuasa dijatuhkan tanpa tanggungjawab untuk membina semula," katanya ketika berucap pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini, malam ini.

Beliau berkata situasi itu akan menyebabkan ekonomi terjunam dan pelabur melarikan diri yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung derita paling besar.

Malah, Mohamad berkata segala kebanggaan negara ini, iaitu ketiadaan perang dan keganasan boleh hilang dalam sekelip mata.

Justeru, beliau berkata sebarang kemarahan atau keberanian perlu disertai dengan strategi dan rasa tanggungjawab serta menolak pendekatan berasaskan emosi yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Jadi, ke mana hala tuju kita? Adakah kita akan keluar kerajaan esok dan biarkan negara huru-hara? Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan,” katanya.

Mohamad turut menyeru ahli UMNO untuk mendukung peranan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan membina, idea bernas dan teguran yang munasabah.

Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukanlah jalan penyelesaian sebenar dalam usaha memulihkan parti dan tidak mampu merawat masalah serta kelemahan dihadapi UMNO.

Pada 5 Jan lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal, meskipun terdapat gesaan daripada sayap Pemuda supaya parti itu keluar daripada kerajaan.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan