WILAYAH - TIMUR > BERITA

TSG PERTARUHKAN LIMA MUKA BAHARU HADAPI CABARAN MUSIM 2026

15/01/2026 06:59 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) -- Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG), mempertaruhkan lima muka baharu bagi menghadapi cabaran lebih sengit musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood, berkata lima pelumba berkenaan terdiri daripada empat import dan seorang tonggak tempatan yang diserap daripada Akademi Berbasikal TSG ke skuad elit..

Beliau berkata pelumba tempatan itu ialah Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai, manakala pelumba import terdiri daripada Zeb Kyffin (Great Britain); Juan Pedro Lozano Navarro (Sepanyol); Pierre Barbier (Belanda); dan Fergus Browning (Australia).

"Pemilihan pelumba adalah berdasarkan reputasi, kepakaran serta pencapaian mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Sebagai contoh, Zeb Kyffin pernah dinobatkan sebagai Pelumba Domestik Terbaik United Kingdom (UK) pada 2023 dan muncul juara peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, yang merupakan kemenangan profesional pertamanya,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Pasukan TSG 2026 di sini, hari ini.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata selain muka baharu, TSG turut mengekalkan 10 pelumba lain bagi bersaing dalam kira-kira 30 perlumbaan musim ini.

Tujuh pelumba tempatan disenaraikan ialah Nur Amirul Fakhruddin Marzuki; Wan Abdul Rahman Hamdan; Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff; Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim; Kee Zhe Yie; Muhammad Nur Rosli; dan Muhammad Haizam Mohd Shabri.

TSG juga mengekalkan tiga pelumba import iaitu Adne Willemjan Van Engelen (Belanda); Mathias Bjorn Bregnhoj (Denmark); dan Vadim Denisovich Pronskiy (Kazakhstan).

"Pelumba yang digugurkan ialah Zuladri Amin Zulkurnain, Metkel Eyob, Anatolii Budiak, Aiman Cahyadi dan Mohd Harrif Salleh yang bersara selepas 15 tahun bersama TSG," katanya.

TSG yang berpengkalan di Kuala Terengganu menamatkan musim 2025 di tempat ketiga pasukan terbaik Asia, kelima pasukan terbaik benua, dan ke-37 daripada 206 pasukan bertaraf dunia.

Bagi musim 2026, TSG menyasarkan untuk merampas kembali gelaran pasukan terbaik Asia, berada dalam tiga kelompok terbaik benua dan meraih podium pada aan LTdL bertaraf Pro 2.0.

"Kita akan berusaha untuk merampas kembali gelaran juara Asia yang kita rangkul selama empat tahun berturut-turut sejak 2021.

"TSG akan menghadapi lapan siri perlumbaan fasa satu bermula 19 Jan ini. Harapan kami ialah mengumpul sebanyak mungkin mata untuk mencapai sasaran,” katanya.

Beliau berkata TSG juga berjaya mengumpul sebanyak RM11.1 juta tajaan dalam bentuk kewangan, barangan dan perkhidmatan daripada 24 syarikat untuk menghadapi musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan