WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGIBOT LANCAR OPERASI DI MALAYSIA, PERKUKUH INISIATIF STRATEGIK ASIA-PASIFIK

14/01/2026 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Syarikat robotik AGIBOT telah memulakan siri inisiatif strategik yang diperluas ke seluruh rantau Asia-Pasifik pada 2026 bermula dengan pelancaran bersejarah di Malaysia.

Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AGIBOT Deng Taihua berkata acara berlangsung di i-City, Selangor semalam, mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membina kerjasama serta memajukan automasi di Malaysia dan seluruh rantau ini.

“AGIBOT mencatat kemajuan ketara dalam meningkatkan pengeluaran secara besar-besaran serta penggunaan praktikal robotik terjelma tahun lepas. Pencapaian itu dimuktamadkan pada penghujung tahun apabila kami melancarkan robot humanoid ke-5000 yang dikeluarkan secara besar-besaran.

"Pencapaian ini serta beberapa kejayaan lain, meletakkan AGIBOT pada kedudukan yang kukuh ketika melangkah ke 2026,” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran itu juga menandakan pembukaan rasmi AI World Experience Centre (AIWEC) di i-City, yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Pusat berkenaan ditubuhkan dengan kerjasama I-Berhad, antara syarikat pelaburan dan pembangunan hartanah terkemuka di Malaysia serta pemaju utama i-City.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik itu, teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) terjelma AGIBOT akan digunakan merentasi sektor hartanah, hospitaliti, pelancongan dan kehidupan bandar i-City, di samping memberi tumpuan kepada kesejahteraan serta kelangsungan hidup manusia melalui penerapan AI dan robotik bagi meningkatkan kualiti hidup.

Presiden Wilayah Asia-Pasifik dan Timur Tengah AGIBOT Abel Deng berkata pembinaan pusat itu menandakan tamatnya fasa pertama kerjasama berkenaan, dengan rancangan untuk pembangunan seterusnya pada tahun akan datang, seiring dengan perkembangan ekosistem robotik terjelma di seluruh rantau ini.

Sementara itu, Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata inisiatif tersebut akan memajukan visi  Malaysia untuk menjadi hab inovasi AI serantau, melalui pembangunan bersepadu merangkumi teknologi, tadbir urus, bakat, infrastruktur dan pelaburan.

AGIBOT  ditubuhkan pada 2023 dengan fokus membangunkan robot yang boleh menyesuaikan diri dan belajar untuk digunakan dalam persekitaran sebenar, berbeza daripada mesin yang hanya mempunyai satu fungsi.

Produk AGIBOT terdiri daripada Siri A2, iaitu robot humanoid bersaiz penuh bagi pembentangan berpandu dan persekitaran bilik pameran, serta siri X2, humanoid bersaiz kompak yang direka untuk interaksi semula jadi, hiburan, penyelidikan dan pendidikan.

Protfolio produk juga merangkumi siri G2, iaitu robot berwujud gred industri untuk pembuatan pintar, siri D1 robot berkaki empat berkeupayana tinggi bagi pemeriksaan dan operasi kompleks serta C5 robot autonomi penjagaan lantai komersial bagi fasiliti bersaiz besar.

Menurut laporan General-Purpose Embodied Intelligent Robot 2026 oleh Omdia, AGIBOT muncul peneraju global bagi penghantaran dan pasaran robot humanoid 2025, dengan 5,100 unit dihantar dan menguasai  39 peratus pasaran dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan