WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANGKA KEMATIAN RUNTUHAN TAPAK PELUPUSAN SAMPAH DI FILIPINA MENINGKAT KEPADA 25 ORANG

16/01/2026 10:09 AM

MANILA, 15 Jan (Bernama-Xinhua) -- Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di bandar Cebu, tengah Filipina, seminggu selepas tapak pelupusan sampah runtuh pada 8 Jan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan menyebabkan 11 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor Xinhua.

Ahli Majlis Bandar Raya Cebu Dave Tumulak berkata pasukan penyelamat belum secara rasmi beralih kepada fasa pencarian mayat walaupun tempoh masa telah berlalu dan keadaan di lokasi sukar, sebagai menghormati keluarga mangsa yang masih hilang.

“Kebanyakan keluarga masih berharap ahli keluarga mereka masih hidup dan kami juga berdoa agar keajaiban berlaku ketika usaha mencari mangsa terselamat diteruskan,” kata Tumulak dalam satu temu bual radio.

Insiden itu berlaku di tapak pelupusan sampah yang dikendalikan secara persendirian di bandar itu pada lewat petang 8 Jan, apabila longgokan sampah yang besar runtuh, menimbus sebuah fasiliti dan ramai pekerja.

Setakat malam Khamis, Biro Perlindungan Kebakaran bandar itu mengesahkan 25 kematian, manakala 11 individu masih belum ditemukan. Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan yang 18 pekerja yang cedera berjaya diselamatkan dalam beberapa hari selepas kejadian berlaku.

Pasukan penyelamat, termasuk anggota bomba, pengawal pantai dan tentera, terus berdepan keadaan berbahaya di lokasi kejadian, antaranya tanah yang tidak stabil, pengumpulan gas metana serta terowong sempit di bawah bertan-tan sisa yang dipadatkan.

Sebagai tindak balas terhadap bencana itu, Majlis Bandaraya Cebu mengisytiharkan keadaan darurat, sekali gus membolehkan pengeluaran dana kecemasan bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat serta menangani krisis pelupusan sisa yang menyusul.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli mengeluarkan perintah henti operasi serta-merta terhadap pengendali tapak pelupusan berkenaan kerana kemungkinan kelemahan dalam pemantauan dan pematuhan protokol keselamatan.

Keluarga pekerja yang masih hilang terus berkumpul dan menunggu di lokasi kejadian, sambil berharap dan berdoa untuk mendapat khabar yang baik.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan