KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan lelaki kerugian lebih RM2.7 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa, 64, menerima panggilan pada awal September tahun lepas daripada suspek yang mendakwa beliau terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.
Beliau berkata suspek, yang mengaku bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, mengarahkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM2.7 juta ke lima akaun bank berbeza bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Mangsa juga diarahkan tidak menyemak atau membuat sebarang transaksi daripada akaun berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa menyedari ditipu setelah mendapati wang dalam semua akaunnya telah lesap dan membuat laporan di (IPD) Kuala Terengganu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial