WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENANGGUHAN B50 INDONESIA BUKA PELUANG JANGKA PENDEK TINGKATKAN EKSPORT MINYAK SAWIT MALAYSIA

16/01/2026 07:19 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Keputusan Indonesia untuk menangguhkan pelaksanaan mandat biodiesel B50 memberi peluang jangka pendek kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport minyak sawit, memandangkan langkah itu membantu mengekalkan kestabilan harga komoditi berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Chong Siew Huay berkata penangguhan itu bermakna Indonesia akan menyerap kurang minyak sawit mentah (MSM) di dalam negara bagi tujuan biodiesel berbanding perancangan asal, memandangkan negara itu buat masa ini mengekalkan mandat B40.

“Dalam jangka pendek, permintaan global terhadap minyak sawit adalah sedikit rendah daripada jangkaan kerana permintaan biodiesel domestik Indonesia tidak meningkat secepat yang dijangkakan dengan pelaksanaan B50,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata apabila Indonesia menyerap kurang MSM di dalam negara, lebih banyak minyak sawit akan disalurkan ke pasaran antarabangsa, sekali gus mewujudkan peluang untuk Malaysia meningkatkan eksport, terutamanya di pasaran yang menyaksikan Indonesia sebagai pesaing langsung.

“Keadaan ini boleh mengurangkan tekanan terhadap bekalan minyak sawit di pasaran global dan membantu mengekalkan keadaan domestik serta eksport yang stabil,” katanya.

Dalam hal itu, beliau berkata harga berkemungkinan menjadi lebih stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan sebelum ini, memandangkan permintaan domestik yang berkurangan menurunkan tekanan ke atas harga MSM.

Chong berkata daya saing jangka panjang Malaysia dalam pasaran minyak sawit global juga akan bergantung kepada banyak faktor seperti produktiviti, pembangunan produk nilai tambah termasuk minyak sawit bertapis dan oleokimia, serta amalan kemampanan dan bukannya bergantung semata-mata kepada keputusan dasar Indonesia itu.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan Indonesia untuk menangguhkan pelaksanaan B50 didorong terutamanya oleh kebimbangan terhadap kemampanan fiskal memandangkan kadar campuran biodiesel yang lebih tinggi akan meningkatkan keperluan subsidi dengan ketara, khususnya dalam tempoh harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Peralihan daripada B40 kepada B50 akan meningkatkan pendedahan kerajaan kepada turun naik harga dan tekanan belanjawan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kapasiti fiskal dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan Indonesia untuk menangguhkan pelaksanaan B50 disebabkan oleh kebimbangan terhadap kemampanan fiskal, memandangkan kadar campuran biodiesel yang lebih tinggi akan meningkatkan keperluan subsidi dengan ketara, khususnya dalam tempoh harga MSM yang tinggi dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Peralihan daripada B40 kepada B50 akan meningkatkan pendedahan kerajaan kepada turun naik harga dan tekanan belanjawan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kapasiti fiskal dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Dari segi teknikal pula, beliau berkata campuran biodiesel yang lebih tinggi menimbulkan cabaran yang lebih besar dalam kestabilan dan dan keserasian bahan api, khususnya untuk kenderaan lama dan jentera berat, selain memerlukan pelarasan merentasi sistem bahan api, enjin, rangkaian logistik dan rangka kerja kawal selia.

Mandat campuran yang lebih tinggi akan meningkatkan permintaan domestik Indonesia terhadap minyak sawit dengan ketara, boleh mendorong kenaikan harga produk minyak sawit yang berkaitan dengan makanan dan mewujudkan tekanan inflasi, terutamanya ke atas minyak masak, katanya.

“Di negara membangun, kerajaan mesti mengimbangi matlamat dasar tenaga dan perindustrian dengan kawalan inflasi, kemampanan fiskal dan pertimbangan kebajikan sosial.

"Penangguhan ini tidak menolak peralihan terhadap B50 pada masa depan, sebaliknya mencerminkan pendekatan berhati-hati secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan teknikal, ekonomi atau sosial yang boleh timbul akibat pelaksanaan yang terlalu cepat,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan