Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 16 Jan (Bernama) -- Labuan hari ini menganjurkan Dialog Strategik Minyak dan Gas (O&G) bagi mengatasi kekangan operasi dalam industri dan mengukuhkan kerjasama antara sektor swasta serta pengawal selia kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
Sesi berimpak tinggi itu menghimpunkan 64 peserta, terdiri daripada pemimpin kanan industri dan pengawal selia utama kerajaan, bagi membincangkan cabaran kritikal dalam ekosistem O&G Labuan dan mengenal pasti penyelesaian yang sesuai dan praktikal.
Dialog yang kali pertama dianjurkan di Labuan, dipengerusikan oleh Pengerusi Perbadanan Labuan (LC) Datuk Husni Salleh dan dianjurkan oleh Flexi Flex Group, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vijay Sharma dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.
Ia berperanan sebagai platform strategik bagi merapatkan jurang antara sektor awam dan swasta, melibatkan penyertaan pegawai kanan pelbagai agensi seperti kastam, imigresen, maritim, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, penjagaan kesihatan serta keselamatan, selain pemimpin industri O&G.
Husni berkata penglibatan wakil pemegang kepentingan itu mencerminkan komitmen bersama bagi mengukuhkan peranan Labuan sebagai hab ekonomi dan perindustrian yang strategik.
Perbincangan itu melangkaui formaliti bagi menangani ketidakcekapan operasi yang dihadapi oleh industri, dengan peserta membincangkan secara terbuka cabaran, menyelaras jangkaan kawal selia dan mengenal pasti penyelesaian praktikal bagi menyokong pertumbuhan yang mampan.
Antara isu utama yang diketengahkan ialah cabaran berkaitan kastam, seperti kelewatan pelepasan kargo, ketidakselarasan prosedur, fleksibiliti operasi yang terhad bagi peralatan berkaitan luar pesisir dan keperluan dokumentasi yang memberi kesan kepada masa pemulihan untuk operasi O&G.
Pemain industri turut membangkitkan kebimbangan mengenai keperluan koordinasi yang lebih jelas antara kastam dan agensi penguatkuasaan lain, terutamanya berkaitan barangan berlesen, import sementara bagi aktiviti luar pesisir, dan pergerakan bagi peralatan khas, yang penting bagi mengekalkan kecekapan operasi dan daya saing kos.
“Kami amat percaya bahawa kerjasama awam-swasta ini amat penting, apabila industri dan kerajaan bekerja bersama-sama secara telus, akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang cekap, patuh dan menarik kepada pelabur,” kata Husni.
Pada penutup sesi, peserta bersetuju bahawa dialog bukanlah satu penglibatan sekali sahaja tetapi permulaan bagi kerjasama berterusan, termasuk cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau tindakan susulan mengenai isu yang dibangkitkan, seperti kecekapan pelepasan kastam, penyelarasan antara agensi dan kelulusan permit keselamatan.
“Walaupun kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua isu hari ini, kami berharap platform ini akan membawa kepada komunikasi yang lebih jelas, penyelarasan yang lebih baik dan tindakan susulan yang bermakna,” kata Husni.
Sesi itu turut menekankan mengenai pengiktirafan khas yang diberikan kepada Flexi Flex Group susulan pencapaian terbaharunya sebagai syarikat pertama berpangkalan di Labuan yang memenangi Anugerah SME100 yang berprestij, menjadikannya satu peristiwa penting bagi sektor swasta Labuan.
Sementara itu, dalam ucaptamanya, Husni mengucapkan tahniah kepada Flexi Flex Group atas pencapaian tersebut, dan menyifatkannya sebagai penanda aras baharu bagi perusahaan tempatan dan mencerminkan komuniti perniagaan Labuan yang semakin berkembang.
“Saya faham bahawa pencapaian ini menjadikan Flexi Flex sebagai syarikat pertama dari Labuan yang diiktiraf antara perusahaan kecil dan sederhana yang paling pesat berkembang di negara ini.
“Ini bukan sekadar kemenangan untuk satu syarikat, tetapi bukti daya tahan dan potensi sektor swasta Labuan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial