WILAYAH - SARAWAK > BERITA

REMAJA LEMAS KETIKA MANDI AIR TERJUN DI LANGKAWI

16/01/2026 07:53 PM

ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas ketika mandi air terjun di Hutan Lipur Lubuk Semilang, dekat Langkawi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata mangsa, Muhammad Hafiz Zaini bersama tiga rakannya ke air terjun itu untuk mandi sebelum seorang rakannya hampir lemas selepas terjatuh ke kawasan air yang dalam.

"Mangsa segera masuk ke kawasan itu untuk menyelamatkan rakannya tetapi dia yang tidak pandai berenang telah lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang hampir lemas itu kemudian berjaya diselamatkan oleh dua lagi rakannya, namun mereka gagal menyelamatkan Muhammad Hafiz.

“Rakan mangsa kemudiannya telah menghubungi talian 999. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya menemukan mayat mangsa di celahan batu kira-kira pukul 2.35 petang.

“Kedalaman air di lokasi kejadian kira-kira 4.5 meter. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 4 (Langkawi) JBPM Kedah Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.37 tengah hari, sebelum tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Sebanyak enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, pihak bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa lemas. Anggota bomba telah menjalankan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan mangsa dilaporkan lemas.

“Mangsa dijumpai di dasar air terjun dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah turun ke kawasan berkenaan untuk membawa naik mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan