WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAJA MUDA PERLIS BERKENAN SERTAI KAYUHAN BERSAMA ALUMNI UITM PERLIS, KOMUNITI BANDAR

17/01/2026 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai Program Kayuhan Basikal bersama peserta Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus di sini hari ini.

Baginda memulakan kayuhan pada 5.45 petang bersama kira-kira 120 peserta dengan laluan mengelilingi kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan Kebun Bandar Sungai Bunus.

Penganjuran program berkenaan adalah untuk merapatkan hubungan antara Raja Muda Perlis bersama rakyat jelata menerusi pengisian program ramah mesra di setiap hentian terpilih melalui aktiviti kayuhan basikal.

Sepanjang program, Tuanku Syed Faizuddin berkenan beramah mesra dan menyaksikan aktiviti Demonstrasi Menembak di Lapangan Sasar PULAPOL serta menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf PULAPOL.

Baginda kemudian meneruskan kayuhan ke destinasi terakhir di Kebun Bandar Sungai Bunus bagi beramah mesra serta melihat aktiviti perkebunan di bawah kelolaan pemegang taruh kebun bandar berkenaan.

Raja Muda Perlis turut berkenan menanam pokok mangga harumanis di plot Kebun Sungai Bunus.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah berkata program kayuhan berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Alumni UiTM Perlis dan Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus untuk membina komuniti yang sihat dan bersosial.

Beliau berkata pihaknya turut menerima sokongan pelbagai agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Diharap pada masa depan, banyak lagi alumni UiTM akan datang menyumbang kembali kepada alumni,” katanya kepada Bernama.

Selebriti Amar Baharin turut menyertai program berkenaan dan memaklumkan penyertaan itu adalah sebahagian daripada kumpulan TTG yang kerap mengadakan aktiviti amal bersama Raja Muda Perlis.

“Saya sebagai daripada TTG, kumpulan Tuanku yang hampir setiap bulan mengadakan aktiviti amal dari segi kayuhan atau aktiviti-aktiviti lain,” katanya, sambil menambah program itu adalah penglibatan ketiga beliau dalam aktiviti kumpulan TTG sejak ia diadakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan