KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir di peringkat separuh akhir Terbuka India 2026 selepas tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, malam ini.
Sebagai pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik tewas 10-21, 21-13, 11-21 dalam perlawanan selama 44 minit, menandakan kekalahan pertama mereka kepada pasangan Jepun itu selepas kemenangan pertama dicatat pada Mei tahun lepas.
Dalam set pembukaan, Aaron-Wooi Yik dilihat sukar mengekalkan rentak permainan apabila pihak lawan menguasai tempo dengan permainan di jaring yang tajam serta pertahanan mantap.
Bagaimanapun, pasangan nombor dua dunia itu bangkit dengan cemerlang pada set kedua apabila berjaya memperkemas pertahanan dan meningkatkan tempo permainan bagi memaksa perlawanan ke set penentuan.
Set penentuan menyaksikan Midorikawa-Yamashita kembali menguasai permainan dengan mendahului sejak awal dan mengekalkan ketenangan untuk menamatkan perlawanan sekaligus melayakkan diri ke peringkat akhir.
Kejohanan berstatus 750 itu menawarkan hadiah USD950,000 (RM3.8 juta) dan Aaron-Wooi Yik, selaku layak ke separuh akhir, membawa pulang hadiah wang tunai USD13,300 (RM53,958).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial