GEORGE TOWN, 17 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua kapal dan sembilan kru termasuk lima daripadanya warga asing dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini pada 14 Jan lepas dan semalam.
Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata dalam kes pertama pada Rabu lepas, pihaknya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang dikendalikan oleh empat kru warga tempatan.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan telah menjalankan aktiviti perikanan di bawah 15 batu nautika.
“Kesemua kru berusia antara 37 hingga 60 tahun serta vesel terlibat diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM negeri untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen VNT Kelas C,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam satu lagi kes berasingan semalam, Muhammad Suffi berkata sebuah vesel nelayan asing Indonesia (VNAI) ditahan oleh kapal peronda selepas disyaki melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.
Beliau berkata penahanan dibuat pada 10 pagi di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi.
“Kapal terbabit dipercayai menangkap ikan di perairan Malaysia bersama lima kru warga Indonesia berusia 15 hingga 40 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati kru VNAI berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua mereka telah ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1956/63,” katanya.
Beliau menegaskan APMM Pulau Pinang akan terus mempergiat rondaan di perairan negeri ini bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan, seterusnya mencegah aktiviti salah laku di laut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial