HAIKOU (China), 18 Jan (Bernama-Xinhua) -- Di wilayah pulau Hainan di selatan China, pelancong datang untuk menikmati cahaya matahari, pantai dan angin laut, tetapi Xia Boyang, 11 tahun, menemui sesuatu yang jauh lebih bermakna: peluang untuk mendengar dengan jelas semula.
Sepanjang zaman kanak-kanaknya, Xia bergantung pada alat bantu pendengaran. Namun, menjelang darjah dua, tahap pendengarannya merosot sehingga kira-kira 90 desibel - tahap bunyi harian hampir hilang sepenuhnya.
Keadaan itu memberi impak emosi. Xia sukar berkomunikasi dengan rakan sekelas dan secara beransur-ansur menjauhkan diri. “Saya tahu kenapa mereka tidak mahu bermain dengan saya,” kata ibunya, mengimbas kata-kata Xia. “Mereka marah apabila saya minta mereka ulang apa yang dikatakan.”
Ibu bapa Xia mencuba pelbagai rawatan, daripada ubat tradisional hingga akupunktur, tetapi hasilnya sedikit.
Titik perubahan berlaku pada Julai lalu apabila keluarga itu ke Zon Perintis Pelancongan Perubatan Antarabangsa Boao Lecheng di Hainan, sebuah kawasan perubatan khas dalam Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan yang membolehkan pesakit mengakses peranti perubatan dan farmaseutikal yang diluluskan di luar negara tetapi belum tersedia di China, lapor agensi berita Xinhua.
Di Hospital Shulan (Boao), Xia menjalani pembedahan untuk memasang Sistem Nucleus Nexa - implan koklea pintar pertama di dunia, dilancarkan oleh Cochlear, peneraju global dalam penyelesaian implan pendengaran.
Apabila peranti diaktifkan sebulan selepas pembedahan, satu bunyi elektronik lembut kedengaran. Xia mengangkat tangan; itu adalah bunyi jelas pertama yang dikenalnya dalam bertahun-tahun.
Xia antara lebih 200,000 pesakit yang mendapat manfaat daripada zon perubatan di Lecheng, yang muncul sebagai peneraju dalam pembukaan sektor perubatan China, disokong oleh dasar khas yang merangkumi rawatan perubatan, penyelidikan, pengurusan dan pertukaran antarabangsa.
Lecheng sedang berkembang ke pasaran pelancongan perubatan antarabangsa, menurut Xinhua.
Dengan memanfaatkan daya tarikan pelancongan Hainan dan kekuatan zon ini dalam perkhidmatan perubatan berlesen serta pengurusan kesihatan, ia telah melancarkan 35 laluan pelancongan perubatan domestik dan antarabangsa, menawarkan perkhidmatan daripada pemulihan penyakit kronik hingga terapi kesihatan tradisional dan program saringan awal.
Pada 2025, zon itu mencatatkan sebanyak 865,300 lawatan pelancongan perubatan, meningkat 109.18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Loh Tian Hwee dari Singapura pertama kali mengetahui tentang Lecheng semasa lawatan perniagaan ke Hainan. Tertarik dengan gabungan rawatan perubatan canggih dan perkhidmatan kesihatan, beliau mencuba aromaterapi, terapi gelombang kejutan dan penyembuhan mangkuk nyanyian.
“Ia membantu saya melepaskan kesakitan, melegakan ketidakselesaan dan menyegarkan tubuh serta minda,” kata Loh. “Saya ingin kembali dan membawa rakan-rakan saya.”
Selain berperanan sebagai hab pelancongan perubatan, Lecheng juga menjadi magnet bagi pelaburan perubatan antarabangsa. Ia menarik kira-kira 60 syarikat dibiayai luar dan empat institusi perubatan asing, serta menjalin kerjasama dengan lebih 180 syarikat dari lebih 20 negara dan wilayah.
Ia telah memperkenalkan lebih 500 ubat dan peranti perubatan inovatif yang diluluskan di luar negara tetapi belum tersedia di China.
Satu daripada ubat tersebut ialah Opzelura (krim ruxolitinib), diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS untuk rawatan vitiligo. Ia dibawa ke Lecheng oleh China Medical System Holdings Limited, dan sehingga akhir November 2025, hampir 8,000 pesakit telah mengakses terapi itu melalui zon perintis.
“Itu satu kejutan yang menggembirakan,” kata Zong Fang, timbalan pengarah hal ehwal awam syarikat, sambil menambah permintaan melebihi jangkaan.
Didorong oleh permintaan dan sokongan dasar, syarikat itu telah memulakan pembinaan pangkalan pengeluaran di Hainan dan dijadualkan memulakan operasi tempatan menjelang akhir 2026.
Dulunya sebuah wilayah kurang membangun, Hainan menjadi zon ekonomi khas terbesar China pada 1988. Pelan induk yang dikeluarkan pada 2020 menetapkan matlamat untuk membangunkan pulau itu menjadi Pelabuhan Perdagangan Bebas berprofil tinggi dan berpengaruh di peringkat global menjelang pertengahan abad ini.
Pada 18 Dis, China melancarkan operasi kastam khas di seluruh Hainan FTP - FTP terbesar di dunia dari segi kawasan - membolehkan kemasukan barangan luar negara lebih bebas, liputan sifar tarif yang lebih luas dan langkah mesra perniagaan.
Dasar sifar tarif ke atas ubat dan peranti perubatan import menjimatkan hampir 62 juta yuan dari cukai untuk institusi perubatan, universiti perubatan dan institut penyelidikan di Lecheng dari Disember 2024 hingga akhir 2025, menurut pihak kastam Haikou, ibu negeri Hainan.
“Lecheng telah menjadi tetingkap kepada pembukaan China, menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa negara ini akan terus membuka pintunya lebih luas,” kata Fu Sheng, pengarah Pentadbiran Zon Perintis Pelancongan Perubatan Antarabangsa Boao Lecheng.
“Ia akan mempromosikan pembangunan bersepadu perkhidmatan perubatan, farmaseutikal, penyelidikan dan industri, dengan matlamat menjadi destinasi pelancongan perubatan bertaraf dunia dan hab inovasi.”
Bagi ibu Xia, impaknya sudah jelas.
“Saya tidak mengharapkan dia tiba-tiba menjadi luar biasa atau mendengar dengan sempurna,” katanya. “Yang saya harap ialah apabila dia bermain dengan kanak-kanak lain dan seseorang memanggil namanya, dia boleh berlari dengan gembira.”
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial