WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENDUDUK LAMAG HARAP MANIFESTO BN DAPAT DILAKSANA, BUKAN JANJI MANIS PILIHAN RAYA

18/01/2026 05:28 PM

KINABATANGAN, 18 Jan (Bernama) -- Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menyatakan harapan agar manifesto ditawarkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Ismail Ayob dapat dilaksanakan dan bukan sekadar janji manis pilihan raya.

Kebanyakan mereka melihat tujuh tawaran yang dikemukakan dalam manifesto itu sebagai instrumen penting dalam memacu kesejahteraan dan transformasi sosioekonomi masyarakat setempat.

​Pesara kerajaan Atija Kabirun, 65, berkata intipati manifesto tersebut merupakan cerminan keperluan mendesak penduduk luar bandar yang mendambakan peningkatan kualiti hidup lebih baik.

“Sekiranya dia (Mohd Ismail) dipilih sebagai wakil rakyat dan menepati janji yang telah dikemukakan, sebagai rakyat di sini, memang kami rasa berbesar hati. Bagi insentif pelajar melanjutkan pengajian dan belia yang baru berkahwin itu juga amat dihargai jika dapat dilaksanakan," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata tumpuan yang harus diberikan ialah kepada penyelesaian isu kemudahan asas seperti gangguan bekalan air bersih dan elektrik yang masih membelenggu penduduk selain pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri di kawasan itu.

Sementara itu, guru sekolah rendah Mohd Hasif Izzuddin Mohd Rasid, 39, berkata manifesto yang dikemukakan Mohd Ismail atau lebih mesra disapa Miha, dilihat selari dengan aspirasi rakyat yang mahu daerah Kinabatangan membangun setaraf dengan kawasan lain.

Selain itu, beliau berkata tawaran untuk membina sebuah kompleks sukan sebagai langkah baik berikutan ketiadaan infrastruktur latihan yang sempurna selama ini sekali gus telah menjejaskan pembangunan bakat di peringkat sekolah.

​“Kemudahan sukan memang sangat diperlukan dan sering dibincangkan, terutama untuk anak-anak sekolah. Tanpa fasiliti yang setanding daerah lain, potensi mereka agak terhad untuk berkembang lebih jauh," katanya.

Mohd Hasif Izzuddin turut memuji cadangan penubuhan kolej atau institusi kemahiran di Kinabatangan bagi mengatasi masalah kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung pelajar sekiranya menyambung pengajian ke luar daerah.

Bagi pekerja kedai makan Luqman Hakim Khamsah,19, penubuhan kolej atau institusi kemahiran yang memberi fokus kepada bidang automotif, mekanikal dan elektrikal memberi ruang kepada anak muda melengkapkan diri dengan latihan teknikal sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Semalam, Mohd Ismail melancarkan manifesto bertemakan 'Lamag Wajah Baharu'.

Tujuh tawaran itu ialah pembangunan PPR bagi menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40 serta menambah baik infrastruktur asas jalan raya, elektrik, air dan capaian Internet.

Selain itu, mewujudkan sektor pelancongan, kraftangan, usahawan dan kebudayaan di Lamag, cadangan penubuhan kolej atau institut kemahiran Kinabatangan bagi menyediakan peluang belajar dan bekerja untuk anak tempatan, meningkatkan prasarana sukan dengan pembinaan kompleks atau mini kompleks sukan di Kinabatangan dan menaik taraf infrastruktur asas di Lamag.

Turut diberi penekanan kewujudan bandar baharu iaitu Bandar Seri Milian sebagai pemangkin kepada pembangunan Lamag dan insentif khas RM1,000 bagi golongan muda di kawasan itu yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi serta belia DUN Lamag yang baru mendirikan rumah tangga.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar ditentang Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan antara Mohd Ismail dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan