WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ZON KETENTERAAN SEMENTARA DIWUJUDKAN DI IBU NEGARA GREENLAND SUSULAN ANCAMAN AS

19/01/2026 12:06 AM

ISTANBUL, 18 Jan (Bernama-Anadolu) -- Polis Greenland pada Sabtu memberi keizinan bagi pembentukan zon ketenteraan sementara di pinggir Qinngorput, dalam ibu negara Nuuk, ketika Washington terus menyatakan minat untuk mengambil alih wilayah berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Menerusi satu kenyataan bertulis, Polis Greenland memaklumkan zon ketenteraan sementara itu diwujudkan bagi penyimpanan peralatan Angkatan Tentera Denmark, dengan pemasangan pagar serta papan tanda amaran yang jelas di kawasan berkenaan.

"Kawasan itu akan berada di bawah kawalan berterusan dan individu yang tidak dibenarkan dilarang memasuki kawasan larangan itu. Pertimbangan telah diberikan terhadap aspek keselamatan serta komuniti setempat, dengan papan tanda dan penghadang yang relevan dipasang bagi memberi panduan kepada pemandu serta pejalan kaki," menurut kenyataan itu.

Beberapa negara Eropah kini sedang mempertingkatkan kehadiran tentera mereka di Greenland menerusi latihan dan misi peninjauan, memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan bahawa wilayah itu harus "berada di bawah kawalan AS" bagi mengekang pengaruh Rusia dan China.

Dalam perkembangan terbaharu, Trump berkata pada Sabtu, Washington akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom (UK), Belanda dan Finland bermula 1 Feb depan.

Kadar tarif berkenaan dilapor akan meningkat kepada 25 peratus pada Jun, susulan bantahan negara-negara terbabit terhadap penguasaan AS ke atas Greenland.

Berikutan pengumuman itu, pemimpin-pemimpin Eropah termasuk Presiden Majlis Eropah dan Presiden Suruhanjaya Eropah berikrar akan mengambil tindakan tindak balas yang selaras.

Greenland, sebuah wilayah tadbir sendiri di bawah Kerajaan Denmark, telah lama menarik minat AS disebabkan kedudukan strategiknya dan sumber mineral yang luas, selain kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti Rusia dan China di rantau itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan