WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK KINABATANGAN, LAMAG: KESTABILAN POLITIK DORONG KEYAKINAN PENGUNDI TERHADAP BN

18/01/2026 11:06 PM

KINABATANGAN, 18 Jan (Bernama) -- Kestabilan politik Sabah dan pembentukan Kerajaan Perpaduan negeri dilihat menjadi antara faktor utama sokongan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi BN Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata sepanjang sembilan hari berkempen, penerimaan  masyarakat setempat terhadap kedua-dua calon BN sangat positif.

“Setakat ini memang nampak sambutan agak baik kepada calon-calon Barisan Nasional. Calon telah menjelajah hampir ke seluruh Parlimen Kinabatangan, demikian juga calon DUN Lamag.

“Yang penting bagi pengundi ialah kestabilan politik di Sabah yang mampu menjana ekonomi negeri, sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemakmuran serta pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu berkata maklum balas pada peringkat akar umbi menunjukkan sebahagian pengundi berpandangan sokongan kepada parti lawan tidak lagi memberikan kelebihan kerana kerajaan negeri telah pun dibentuk melalui kerjasama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus mewujudkan kestabilan politik.

Sementara itu, Jafry berkata wujud sinergi yang baik antara calon Parlimen Kinabatangan dengan calon DUN Lamag yang kedua-duanya calon muda, yang memberikan kelebihan dalam mendekati pengundi.

Beliau berkata faktor itu selari dengan demografi pengundi Kinabatangan apabila lebih separuh daripada 48,722 pemilih berdaftar merupakan golongan muda, iaitu sebanyak 57.17 peratus, sekali gus menjadikan kumpulan itu penentu utama dalam PRK kali ini.

Selain itu, beliau berkata pendekatan kempen BN juga tidak menumpukan kepada ceramah berskala besar, sebaliknya memberikan tumpuan kepada kempen secara bersemuka menerusi pertemuan kelompok kecil dan kunjungan dari rumah ke rumah.

“Pendekatan ini dilihat lebih berkesan kerana calon berpeluang menemui lebih ramai penduduk yang akan mengundi nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata beberapa siri kempen yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti antaranya Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan diadakan dalam tempoh terdekat.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar, berdepan saingan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, PRK DUN Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kedua-dua PRK diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada Selasa ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan