WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENANG FC SEDAR HALANGAN, PERSIAP PASUKAN UNTUK TEMPUH 90 MINIT DI KUCHING

19/01/2026 10:49 AM

GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) -- Berbekalkan kelebihan satu gol bukanl jaminan selesa buat Penang FC yang bakal bertandang ke Sarawak untuk aksi timbal balik perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2025/2026 menentang Kuching City FC, pada 24 Jan.

Menyedari hakikat itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata pasukannya, akan membuat persiapan rapi bagi mengharungi baki 90 minit yang dijangka mencabar, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong lawan.

“Kami sedar halangan yang bakal dihadapi di Kuching nanti dan saya akan mempersiapkan pasukan untuk sebarang kemungkinan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, kami akan pergi dengan pendekatan yang sama, iaitu bermain secara menyerang dan menerapkan permainan tekanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Dalam aksi itu Penang FC meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan penyerang import baharu kelahiran Brazil Douglas Coutinho Gomes De Souza pada minit ke-40, sekali gus meletakkan Harimau Kumbang di hadapan menjelang perlawanan timbal balik nanti.

Mengenai keputusannya meletakkan Douglas dalam kesebelasan utama, Wan Rohaimi menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepada pemain itu berbaloi selepas berjaya mencipta impak segera dengan jaringan pada penampilan sulungnya.

“Kepercayaan telah diberikan dan Douglas berjaya membalasnya dengan baik. Alhamdulillah, impak segera kita dapat daripada beliau daripada penampilan pertama dengan gol pertama dan saya berharap prestasi serta keyakinan dirinya akan terus meningkat untuk membantu Penang FC pada perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berkata kekalahan malam tadi tidak melemahkan moral pasukannya yang telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan serta optimis sokongan padu penyokong di Kuching nanti mampu menjadi suntikan semangat kepada pemain untuk memburu kebangkitan.

Beliau turut menyifatkan kehilangan tumpuan pada separuh masa pertama khususnya dalam mengawal set piece, memberi kelebihan kepada tuan rumah walaupun menegaskan Penang FC tidak mencipta banyak peluang terbuka sepanjang perlawanan.

“Ini perlawanan piala yang penuh dengan cabaran serta pelbagai kemungkinan dan sentiasa ada kejutan. Kami perlu bangkit dengan cepat. Pulau Pinang mungkin gembira hari ini, tetapi ini hanyalah separuh pertama perlawanan dua pusingan dan kita akan lihat apa yang berlaku apabila kami bermain di Kuching,” katanya.

Aidil dalam pada itu memaklumkan tahap kecederaan pemain tengah Muhammad Danial Amier Norhisham masih belum dapat dipastikan dan akan dinilai pasukan perubatan dalam tempoh terdekat.

“Mungkin doktor akan menilai kecederaan tersebut setelah bengkak surut dan menentukan sama ada pemeriksaan X-ray atau MRI diperlukan. Kecederaan itu masih baharu, namun kelihatan serius kerana kecederaan buku lali akibat terseliuh boleh menjadi agak teruk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan