WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC SIASAT ISU KESILAPAN TERJEMAHAN CHINA PRESS - FAHMI

20/01/2026 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung isu kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu peruntukan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

Fahmi berkata siasatan itu dijalankan susulan aduan rasmi yang dibuat oleh orang awam.

"Sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Majlis Media Malaysia, sebagai sebuah badan bebas memainkan peranan yang telah diperuntukkan.

Menurut Fahmi, hal itu bagi memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat, serta menjadi platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

"Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya melalui media sosial serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan," katanya.

Dilaporkan kesilapan terjemahan titah Seri Paduka Baginda itu adalah berhubung Bahasa Melayu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan