KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Meskipun baharu selesai menjalankan tugasan syif malam, beberapa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan tetap komited menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag hari ini.
Inspektor Siti Hajar Mohd Taupek, 37, yang baru sahaja selesai bertugas, merupakan antara anggota terawal yang hadir menunggu giliran untuk mengundi di pusat pengundian awal di Teratak IPD Kinabatangan, yang dibuka pada 8 pagi tadi.
“Saya baharu sahaja selesai kerja syif malam pada pagi ini dan sebelum balik berehat di rumah, saya terus datang ke sini untuk mengundi awal.
“Saya bertugas di sini sejak 2019 dan ini adalah kali keempat saya mengundi awal di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di luar perkarangan pusat pengundian berkenaan.
Koperal Sophia Lim Ian Ian, 32, turut tidak menjadikan keletihan selepas bertugas pada syif malam sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi awal.
“Pada PRK kali ini kami menggunakan jari kelingking untuk dicelup dakwat kerana jari telunjuk masih mempunyai kesan dakwat daripada pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 Nov lepas,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial