KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) telah melantik Zaida Khalida Shaari dan Rohan Krishnalingam sebagai pengarah bukan eksekutif bebas baharunya, masing-masing berkuat kuasa 1 Jan serta 20 Jan 2026.
CGC melalui satu kenyataan hari ini memberitahu Zaida Khalida berpengalaman lebih 30 tahun dalam tadbir urus, pelaburan strategik dan transformasi organisasi.
Beliau telah memegang jawatan kepimpinan kanan di Khazanah Nasional Bhd, yang mana beliau menjadi pengarah eksekutif pelaburan, manakala di Permodalan Nasional, beliau berkhidmat sebagai ketua jabatan undang-undang dan setiausaha syarikat bersama.
“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan AMIR (diperbadankan oleh Khazanah Nasional) dan kini menduduki lembaga pengarah AEON Co (M) Bhd, MNRB Holdings, Pelaburan Hartanah Nasional serta RHB Islamic Bank, dan merupakan ahli Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan),” katanya.
Sementara itu, CGC berkata bahawa Rohan mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas dalam teknologi dan transformasi digital, pengurusan risiko teknologi, keselamatan siber, fintech termasuk penyampaian program teknologi berskala besar.
“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai digital dan teknologi kumpulan serta ketua pegawai operasi kumpulan di RHB Banking Group, yang mana beliau menerajui pendigitalan utama dan inisiatif pemodenan teknologi maklumat, selain menghabiskan lebih dua dekad dengan Accenture sebagai pengarah urusan (rakan kongsi kanan) teknologi perkhidmatan kewangan untuk rantau ASEAN.
“Beliau sekarang ini berkhidmat sebagai pengarah bukan-eksekutif bukan bebas Boost Bank,” katanya.
Dalam mengalu-alukan pengarah baharu, Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein berkata pelantikan ini secara signifikan mengukuhkan kapasiti strategik lembaga CGC dengan pengalaman dan rangkaian kolektif serta pelengkap mereka bagi melaksanakan rancangan pertumbuhan CGC.
“Fokus utama kami adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi tinggi, tulang belakang gelombang pertumbuhan ekonomi Malaysia yang seterusnya.
“Yang penting, pelantikan ini akan membantu kami merealisasikan sebahagian penting mandat kami untuk menjadi lebih inklusif: menjalin perkongsian yang lebih substantif dan partisipatif antara perniagaan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam rantaian bekalan sektor-sektor fokus masa depan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial