WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAP BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKASA PENDIDIKAN - RAMANAN

20/01/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara berterusan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pendidikan serta memastikan tiada murid tercicir akibat kekangan kewangan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata BAP yang dilaksanakan melalui Kementerian Pendidikan sejak 2023 dengan peruntukan RM765 juta telah memberi manfaat kepada 5.1 juta murid di seluruh negara pada tahun berkenaan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata peruntukan BAP meningkat kepada RM788 juta pada 2024 dan RM791 juta pada 2025, manakala bagi tahun ini, kerajaan memperluas inisiatif berkenaan dengan jangkaan peruntukan mencecah RM800 juta bagi lebih 5.2 juta penerima, termasuk pelajar Tingkatan Enam.

Beliau berkata peningkatan peruntukan secara konsisten itu selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tiada anak Malaysia tercicir daripada meneruskan persekolahan hanya kerana masalah kewangan.

“Bermula 11 Jan, BAP berjumlah RM150 disalurkan secara berperingkat kepada setiap murid warganegara Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, aliran sekolah atau latar belakang keluarga.

“Saya berharap agar semua ibu bapa dan penjaga dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan ini dengan membuat perancangan yang sebaiknya bagi memastikan keperluan persekolahan anak-anak dapat disediakan dengan sempurna,” menurut catatan itu.

Ramanan berkata di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari sahaja, sebanyak 2,363 murid akan menerima BAP 2026 dengan jumlah penyaluran awal hampir RM355,000, yang dijangka meningkat selaras dengan pertambahan bilangan murid.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan