WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MNRB LAKSANA KOMITMEN GAJI KEHIDUPAN WAJAR NASIONAL

20/01/2026 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mengumumkan pelaksanaan Komitmen Gaji Kehidupan Wajar seiring dengan usaha Malaysia untuk mempromosikan gaji yang wajar dan mencukupi sambil memperkukuh falsafah kumpulan itu iaitu rakyat didahulukan.

Presiden Sementara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata MNRB percaya keterjaminan kewangan merupakan asas kepada kepuasan untuk bekerja dan kesejahteraan pekerja secara keseluruhan.

"Dengan melaksanakan Komitmen Gaji Kehidupan Wajar, kami mengukuhkan tanggungjawab untuk melindungi pekerja sambil menyokong kestabilan jangka panjang mereka dan memberi ganjaran atas sumbangan bermakna mereka kepada organisasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah komitmen ini, semua pekerja tetap warganegara Malaysia dalam kumpulan berkenaan akan menerima gaji kehidupan wajar minimum sebanyak RM3,100 sebulan.

Pelaksanaan Komitmen Gaji Kehidupan Wajar MNRB sejajar dengan visi MNRB iaitu "Kami Melindungi Semua" yang menekankan komitmen jangka panjang kumpulan untuk menjaga kesejahteraan pekerja, menyokong prestasi organisasi yang mampan dan menegakkan pelaksanaan pekerjaan yang wajar.

Kenyataan itu berkata rangka kerja ganjaran keseluruhan MNRB distrukturkan supaya melebihi keperluan gaji minimum berkanun, memastikan pekerja tetap menerima gaji kehidupan wajar minimum sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan termasuk gaji pokok, elaun dan faedah lain.

"Ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kumpulan terhadap ganjaran pekerja dan dilaksanakan sejak 30 Julai, 2025 sekali gus memberi manfaat kepada keseluruhan tenaga kerja kumpulan MNRB," tambahnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan