KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini merupakan langkah baharu bagi memperkukuh keselamatan negara, memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan dan membina keupayaan industri tempatan yang lebih berwibawa serta berintegriti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar yang sekian lama tertangguh itu kini dilaksanakan selaras dengan tuntutan masa dan keperluan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dasar industri pertahanan ini memang lama tertangguh, dan saya kira sesuai dengan tuntutan masa serta menenggelami kemelut yang membadai Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini,” katanya pada Majlis Pelancaran DIPN di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata DIPN digerak berasaskan empat tonggak utama merangkumi pengukuhan tadbir urus dan institusi, pembangunan keupayaan teknologi, pemantapan ekosistem serta rantaian bekalan pertahanan tempatan, dan peningkatan daya saing global serta eksport.
“Tumpuan kita termasuk atau bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan institusi yang selalu saya tekankan bermula dengan tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau berkata tonggak kedua ialah pembangunan keupayaan teknologi termasuk melalui pelaksanaan Program Kolaborasi Industri.
Anwar berkata tonggak ketiga melibatkan pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan pertahanan tempatan yang menuntut pembinaan kemandirian teknologi serta sokongan berterusan kepada industri tempatan.
“Kerana ekosistem itu menuntut kita bukan sahaja membeli tetapi juga menyediakan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rangkaian atau yang dikatakan supply chain bekalan tempatan dan pengkomersialan R&D (penyelidikan dan pembangunan),” katanya.
Perdana Menteri berkata tonggak keempat ialah peningkatan daya saing global dan eksport, dengan sasaran Malaysia mula mengeksport hasil industri pertahanannya.
“Kalau ada keupayaan dalaman yang cekap dan baik, kita harus bergerak supaya meningkatkan daya saing global dan mula mengeksport hasil kita,” katanya.
Anwar berkata pelaksanaan DIPN mesti berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan yang pernah mencemarkan imej sektor pertahanan, serta menegaskan bahawa segelintir isu yang masih dalam siasatan tidak harus mencoreng keseluruhan imej ATM.
“Jadi, saya ingin menjelaskan bahawa integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas kerana majoriti besar tahu tanggungjawab mereka, tahu amanah yang digalas oleh mereka dan tahu bahawa negara bergantung kepada khidmat dan kesiapsiagaan mereka," katanya.
Beliau juga berkata DIPN bukan sahaja bertujuan membina keupayaan industri malah memberi harapan baharu kepada negara, dan memberi jaminan sokongan penuh seluruh Jemaah Menteri terhadap pelaksanaan dasar itu.
“Seluruh Jemaah Menteri adalah bersama untuk perbaiki serta angkat semula peranan keupayaan dan juga melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara, itu jaminan saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial