SEREMBAN, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersedia mengemukakan semula usul bagi mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal selaras dengan rang undang-undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri yang bakal dibentangkan di Parlimen.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 berkaitan langkah mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal pernah diusulkan namun tidak diluluskan kerana gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada awal Disember 2021.
“Kita boleh bawa RUU itu semula ke sidang DUN akan datang... saya tiada masalah… sebelum ini ditolak kerana tidak cukup undi disebabkan tidak mendapat sokongan ADUN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai pembentangan rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri itu ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, awal bulan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial