WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TROFI PIALA DUNIA "KEMBALI" KE MALAYSIA SELEPAS 12 TAHUN

21/01/2026 07:25 PM

PETALING JAYA, 21 Jan (Bernama) -- Ratusan peminat bola sepak berkumpul di Sunway Pyramid di sini hari ini, untuk melihat secara dekat trofi berprestij Piala Dunia FIFA, yang dinanti-nantikan selepas kali terakhir dibawa ke Malaysia 12 tahun lepas. 

Trofi itu diperkenalkan oleh pemenang Piala Dunia 2002 yang juga bekas pemain antarabangsa Brazil Gilberto Silva yang bersama-sama legenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh dan penyanyi rap tempatan popular Muhammad Hairi Amin Hamdan atau lebih dikenali sebagai MK yang menambah kemeriahan acara tersebut.

Trofi yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan termasuk wakil FIFA tiba di Malaysia awal hari ini sebagai sebahagian daripada jelajah global yang meliputi 75 persinggahan, dengan majlis rasmi diadakan di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Shah Alam, Selangor.

Ketibaan trofi itu turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional tempatan dan disambut oleh Presiden Unit Operasi ASEAN dan Pasifik Selatan The Coca-Cola Company Selman Careaga serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Kali terakhir simbol kejuaraan tertinggi dunia itu berada di Malaysia ialah pada 2014 sempena Piala Dunia FIFA di Brazil pada tahun tersebut.

Silva berharap lawatan Trofi Piala Dunia FIFA ke Malaysia akan memberi inspirasi kepada pemain bola sepak tempatan muda dan pasukan Harimau Malaya untuk beraksi dalam Piala Dunia suatu hari nanti.

“Saya berharap persinggahan di Malaysia dapat memberi inspirasi kepada ramai golongan muda sama ada lelaki atau perempuan untuk bermain bola sepak dan semoga satu hari nanti kita dapat melihat Malaysia beraksi dalam Piala Dunia,” kata bekas pemain tengah Arsenal itu.

Trofi itu dijangka meneruskan jelajah ke Korea Selatan dan Jepun.

Piala Dunia FIFA 2026 yang buat kali pertama akan menampilkan 48 pasukan dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan