WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN GALAK PMKS LAKSANA E-INVOIS SECARA SUKARELA

21/01/2026 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melaksanakan e-Invois secara sukarela kerana manfaatnya yang besar kepada operasi perniagaan dan kesediaan menghadapi ekonomi digital.

Pengarah Bahagian e-Invois Sektor Operasi Cukai LHDN Dr Rasyidah Che Rosli berkata pelaksanaan e-Invois melengkapkan proses peralihan pengurusan dokumentasi perniagaan daripada kaedah manual kepada digital, sekali gus memberi nilai tambah kepada perniagaan.

Menurut beliau, e-Invois menggantikan amalan tradisional yang bergantung kepada penyimpanan rekod fizikal seperti resit, buku rekod manual dan fail invois yang terdedah kepada risiko kehilangan, rosak, tersalah catat dan memakan ruang penyimpanan.

Beliau berkata rekod perniagaan secara fizikal juga mudah terjejas disebabkan faktor luaran seperti banjir, kebakaran dan kecurian, yang boleh mengganggu kelancaran dan kemampanan operasi perniagaan.

Dengan pelaksanaan e-Invois, semua maklumat transaksi disimpan secara digital dan boleh dicapai semula pada bila-bila masa, sekali gus membantu menyelesaikan masalah lazim dalam kalangan PMKS seperti rekod yang tidak konsisten, data bercampur-campur dan sukar disusun, kesilapan pengiraan urus niaga serta kesukaran menyediakan laporan kewangan, katanya.

Mengulas kebimbangan peniaga kecil mengenai kos dan tahap penerimaan digital, Rasyidah berkata LHDN mengambil kira semua aspek itu dengan menyediakan platform e-Invois secara percuma.

Beliau berkata peniaga tidak perlu mengeluarkan kos bagi pelaksanaan e-Invois, malah LHDN turut membantu menampung kos operasi melalui penyediaan sistem MyInvois e-POS (point of sale), yang membolehkan peniaga mengurus operasi perniagaan dan melaksanakan e-Invois secara digital.

Menurut beliau, tanpa e-Invois sekalipun, peniaga masih memerlukan sistem digital bagi menguruskan perniagaan, justeru pendekatan ini diambil bagi mengelakkan beban kos tambahan kepada peniaga kecil.

Dari segi penerimaan digital, beliau berkata LHDN memahami peniaga kecil memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan menyediakan sokongan secara langsung termasuk pendekatan 'hands-on' bersama pegawai LHDN bagi membantu pengaktifan dan pelaksanaan MyInvois e-POS.

Selain itu, kerajaan turut memberikan kelonggaran tempoh pelaksanaan e-Invois kepada peniaga kecil, dengan tempoh enam bulan dilanjutkan kepada 12 bulan bagi mengambil kira keupayaan dan kesiapsiagaan mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan