WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU KOD TATALAKU LAUT CHINA SELATAN, AI GROK ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

22/01/2026 08:20 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Isu berkaitan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, sekatan sementara akses kecerdasan buatan (AI) Grok dan rasional kemasukan tahun satu bagi murid berusia enam tahun antara yang dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) meminta Menteri Luar menyatakan perkembangan terkini proses rundingan COC di Laut China Selatan serta peranan Malaysia dalam usaha memuktamadkan kod tersebut, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Mohd Isam turut bertanyakan kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh serta langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi menanganinya.

Pada sesi sama, Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia termasuk daripada aspek kawal selia, penguatkuasaan dan pemantauan berterusan, serta langkah jangka panjang bagi melindungi kumpulan rentan.

Turut tersenarai soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang mahu Menteri Pendidikan menjelaskan rasional membenarkan kemasukan murid ke tahun satu pada umur enam tahun, dan sama ada kerajaan telah menjalankan kajian empirikal atau penilaian impak sebelum cadangan itu dibuat serta dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu pada sesi soal jawab lisan, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) bertanyakan Menteri Belia dan Sukan mengenai kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA 2025 yang mencapai sasaran 200 pingat, serta perancangan kerajaan untuk memastikan prestasi itu dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada kejohanan lebih besar, khususnya dalam usaha memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Rodziah Ismail (PH-Ampang) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah untuk mengawal keagresifan jenama makanan dan minuman asing serta platform e-dagang yang menawarkan harga jualan sangat kompetitif hingga mengancam kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac manakala Dewan Negara bermula 23 Feb.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan