WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELANTAN TERDEDAH RISIKO RASUAH DI PINTU SEMPADAN - AZAM BAKI

22/01/2026 02:31 PM

KOTA BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand mengundang risiko berlaku aktiviti rasuah dalam penguatkuasaan terutamanya membabitkan penyeludupan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata bagi mengatasi perkara itu pihaknya mula bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Di Kelantan terutamanya di Rantau Panjang di Pasir Mas dan Bukit Bunga, Tanah Merah, kita dapati lebih kepada isu sempadan.

“Banyak isu penguatkuasaan melibatkan ketirisan berlaku seperti kutipan cukai membabitkan barangan seludup, barang pertanian, barang subsidi dan sebagainya. Sekarang kita bekerjasama dengan AKPS untuk memantau perkara ini.

“Jika tidak pantau dengan serius ia akan mengundang isu ketirisan dan jenayah seperti perdagangan manusia, dadah dan sebagainya,” katanya ketika bersiaran langsung pada Program Bual Bicara RTM Kelantan di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Azam berkata tindakan pembersihan di lokasi yang dikenal pasti berlaku rasuah dan ketirisan perlu dilaksanakan secara agresif, termasuk melalui pemantauan rapi terhadap pegawai penguatkuasaan yang bertugas di pintu sempadan.

Beliau berkata tumpuan SPRM adalah terhadap penjawat awam manakala agensi penguatkuasaan lain memberi fokus kepada aktiviti penyeludupan dan kesalahan berkaitan.

“Oleh itu, kita perlu memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sebagai Pengerusi Sampingan bagi Koordinasi Penguatkuasaan, saya melihat isu sempadan sebagai isu yang berterusan dan melibatkan ketirisan besar termasuk membabitkan wang Persekutuan serta negeri,” katanya.

Azam berkata ketirisan tersebut berlaku akibat penglibatan segelintir pegawai penguat kuasa, sambil menegaskan bahawa aktiviti berkenaan tidak akan berlaku tanpa unsur bersekongkol.

“Sebelum kita mengambil tindakan terhadap penyeludup, kita perlu memastikan pegawai ini memiliki tahap integriti yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa untuk memerangi isu rasuah serta ketirisan yang berlaku dengan menyalurkan maklumat sekiranya mereka mengetahui mana-mana kejadian yang berlaku.

“Mereka tidak perlu takut sekiranya mahu menyalurkan maklumat, jumpa pegawai kita. Sekiranya pegawai bertugas mendedah maklumat mengenai pemberi maklumat, pegawai itu akan dikenakan tindakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan