WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SALURAN ADUAN RASMI MAJLIS MEDIA MALAYSIA KINI DIBUKA

22/01/2026 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa mekanisme aduan rasmi kini dibuka dan beroperasi sepenuhnya, menyediakan saluran profesional dan berinstitusi untuk orang ramai dan pihak berkepentingan mengemukakan aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita.

MMM dalam kenyataan memaklumkan aduan boleh disalurkan melalui e-mel kepada aduan@majlismedia.my atau laman web rasmi https://majlismedia.my/complaints/, yang dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan yang berfungsi sebagai saluran bebas, telus dan tidak bersifat menghukum, selaras dengan prinsip kawal selia kendiri media.

Pengumuman ini dibuat susulan perkembangan terbaharu, termasuk isu melibatkan China Press yang mencetuskan perdebatan awam serta laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu berhubung perkara terbabit.

"Perkara sebegini sepatutnya ditangani menerusi saluran profesional dan berinstitusi, bukannya melalui tekanan, intimidasi atau tindakan menghukum.

"Kenyataan daripada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menggesa MMM, sebagai badan berkanun kawalan bebas, untuk memastikan pematuhan terhadap etika kewartawanan serta mempromosikan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat, khususnya dalam kalangan ahlinya.

"Beliau juga menekankan peranan MMM sebagai platform kawal selia kendiri untuk mengendalikan aduan berkaitan media secara profesional dan berintegriti," menurut kenyataan itu hari ini.

Majlis itu menjelaskan mekanisme berkenaan menekankan pembetulan yang adil, mediasi dan kebertanggungjawaban editorial, sambil memelihara kebebasan media.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan Datin Paduka Esther Ng berkata ahli Lembaga MMM telah membincangkan secara menyeluruh dan bersetuju dengan mekanisme bagi mengendalikan aduan yang dikemukakan kepada Majlis.

"Perkara ini membuka laluan untuk kami melaksanakan tugas secara teratur dan sistematik, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah ditetapkan. Hal ini merupakan antara tanggungjawab paling penting MMM, dan mustahak untuk mekanisme ini digerakkan dengan segara," katanya dalam kenyataan sama.

MMM memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga pada 20 dan 21 Jan lepas yang turut memberikan tumpuan kepada empat jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan, Jawatankuasa Reformasi Undang-Undang dan Literasi Media, Jawatankuasa Kemampanan Industri Media dan Pembangunan Profesional, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Pendanaan Majlis.

Lembaga juga membincangkan keperluan untuk memperkukuh kawal selia kendiri media, meningkatkan akauntabiliti profesional, serta menyediakan mekanisme berinstitusi untuk menangani isu berkaitan media secara adil dan berhemah.

Selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Media Malaysia, organisasi media yang menjadi ahli MMM dikehendaki mewujudkan mekanisme aduan dalaman masing-masing sebagai sebahagian daripada tanggungjawab editorial dan akauntabiliti profesional.

Bagaimanapun, dalam tempoh interim ini, aduan berkaitan media maish boleh dikemukakan terus kepada MMM melalui saluran yang telah disediakan sementara organisasi media melengkapkan atau memperkemas mekanisme aduan dalaman masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan