WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANGGOTA POLIS CEDERA RINGAN KEMALANGAN KETIKA BERTUGAS

22/01/2026 10:22 PM

BENTONG, 22 Jan (Bernama) -- Seorang anggota polis cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan penugasan di Kilometer 71.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Timur, hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata Lans Koperal Zulakmal Isa daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Maran dipercayai terbabas akibat tumpahan minyak di permukaan jalan.

Beliau berkata ketika kejadian, anggota berkenaan dalam perjalanan melaksanakan tugasan di lokasi terakhir lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak.

“Keadaan anggota terbabit dilaporkan stabil dan beliau telah dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahaya berkata hasil pemeriksaan serta ujian X-ray yang dijalankan mendapati tiada kecederaan serius dialami mangsa, namun terdapat beberapa luka di bahagian tangan, pinggul dan lutut.

Dalam pada itu,  hantaran di Facebook Polis Pahang memaklumkan Yahaya telah mengambil tindakan segera membantu anggota yang terlibat dalam kemalangan itu. 

“Ketua Polis Pahang turut mengiringi anggota terlibat hingga ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya telah melawat anggota berkenaan di hospital sejurus selepas kejadian bagi memastikan kebajikan dan keadaan kesihatannya terpelihara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan