WILAYAH - TIMUR > BERITA

PEMBANGUNAN NEGARA PERLU SEIMBANG KEMAJUAN TEKNOLOGI, NILAI IHSAN - PM ANWAR

22/01/2026 04:59 PM

BENTONG, 22 Jan (Bernama) -- Pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya berpaksi kepada kemajuan teknologi dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu ‘mengakar ke bumi’, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun Malaysia perlu merebut peluang dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital, kemajuan itu tidak akan bermakna tanpa penerapan nilai ihsan dan rahmah.

Anwar berkata kepakaran teknikal seperti jurutera dan saintis tanpa tunjang nilai yang baik tidak mampu membawa negara ke arah kemajuan yang seimbang dan mampan.

“Kita (kerajaan) meletakkan prinsip nilai, ihsan, rahmah dan bukan pada teori dan falsafah manusia. Ia (Malaysia MADANI) berteras keyakinan dan keimanan dan nilai Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Pelajar Sekolah Agama Rakyat KAFA Saidatina Aisyah di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata semangat keyakinan dan keimanan menjadi pemangkin pembangunan dalam dasar Malaysia MADANI.

Dalam mengejar arus pemodenan, Anwar turut menekankan aspek pembangunan modal insan serta sahsiah yang baik tetap menjadi keutamaan dalam kerangka pendidikan negara.

“Dalam rangka ini kita dukung kerana ia adalah asas manusia ini dan terasnya keyakinan. Keyakinan itu akidah daripada keyakinan itu membentuk akhlak dan nilai yang menjadi kekuatan disiplinnya, kerajinannya, meneroka ilmu baharu dan perjuangan untuk menegakkan ma’ruf kerana terpahat keyakinan,” katanya. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf KAFA Saidatina Aisyah. 

Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat tapak projek naik taraf 'Cure and Care Rehabilitation Centre' di Karak di sini dengan mendengar taklimat projek membina, meroboh dan menaik taraf pusat berkenaan yang kini 92 peratus siap selama kira-kira 30 minit.

Taklimat disampaikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Datuk Hafizah Zakaria serta wakil daripada syarikat kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut.

Turut mengiringi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Projek bina baharu bangunan PUSPEN Karak itu membabitkan blok asrama, surau serta dewan makan dengan kos melibatkan RM75 juta, akan siap pada hujung Mei ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan