WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANGKA KORBAN NAHAS TREN DI SEPANYOL MENINGKAT KEPADA 43 ORANG

22/01/2026 05:25 PM

MADRID, 22 Jan (Bernama-Xinhua) -- Angka korban nahas tren pada Ahad lepas berhampiran bandar Adamuz di wilayah Cordoba, selatan Sepanyol meningkat kepada 43 orang selepas satu lagi mayat ditemukan di bawah bangkai kereta api pada Rabu, menurut pihak berkuasa Sepanyol, lapor Xinhua.

Menurut perkhidmatan kecemasan, seramai 68 orang masih dirawat di hospital, termasuk sembilan di unit rawatan rapi, namun tiada yang dilaporkan dalam keadaan mengancam nyawa.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 7.45 malam waktu tempatan (1845 GMT) pada Ahad lepas apabila sebuah tren berkelajuan tinggi yang dikendalikan oleh Iryo yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir sebelum berlanggar dengan tren dari arah bertentangan yang dioperasikan syarikat milik kerajaan Renfe dari Madrid ke Huelva.

Siasatan mengenai punca nahas masih diteruskan.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa pasukan teknikal sedang memeriksa kedua-dua infrastruktur landasan serta tren yang terlibat, sambil menegaskan bahawa belum ada sebarang kesimpulan muktamad dicapai setakat ini.

Sementara itu, Sepanyol turut merekodkan dua lagi kemalangan kereta api pada Selasa di wilayah timur laut Catalonia dengan kedua-dua insiden itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda beberapa bahagian di wilayah berkenaan sejak beberapa hari kebelakangan ini..

Seorang pemandu tren maut dan sekurang-kurangnya 37 penumpang cedera selepas tembok runtuh menghempap sebuah tren komuter berhampiran bandar Gelida, manakala sebuah lagi tren tergelincir akibat runtuhan batu berhampiran Blanes.

-- BERNAMA-XINHUA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan