WILAYAH - SARAWAK > BERITA

F&NHB SASAR PERTUMBUHAN DALAM INOVASI, KEPELBAGAIAN PADA TAHUN KEWANGAN 2026

22/01/2026 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) dijangka terus memberi tumpuan untuk membangunkan nilai pada masa hadapan melalui inovasi, kepelbagaian dan transformasi pada tahun kewangan 2026.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Yew Hoe berkata inovasi kekal penting untuk memacu hubungan dan kelebihan daya saing syarikat dengan sentiasa membaharui portfolio produknya bagi memenuhi pilihan pelanggan yang sentiasa berubah.

"Walaupun ketidakpastian geopolitik dan halangan makroekonomi dijangka berterusan, kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh, aliran tunai yang baik daripada operasi teras, dan pengurusan kos yang berdisiplin serta pengoptimuman aset meletakkan kami dalam kedudukan yang mantap untuk berdepan cabaran ini dengan tangkas dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sehubungan itu, keutamaan F&NHB adalah untuk mempercepat pertumbuhan bahagian pasaran dengan tumpuan untuk memastikan kesinambungan bekalan di seluruh Indochina sambil membina tonggak pertumbuhan seterusnya.

“Pada peringkat lebih luas, F&NHB terus komited untuk mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan melalui pelaburan strategik yang berdisiplin bagi memperluas capaian pengguna serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” katanya.

Pada tahun kewangan 2025, kumpulan itu merekodkan perolehan RM5.2 bilion, dengan keuntungan operasi dan keuntungan sebelum cukai F&NHB masing-masing menokok 5.1 peratus dan 4.8 peratus, disokong oleh kos input yang rendah dan disiplin operasi.

Lim berkata sepanjang 2025, syarikat itu telah berkembang daripada tumpuan awalnya untuk meraih nilai merangkumi keseluruhan rantaian nilai kepada komitmen baharu untuk memberikan lebih banyak nilai, inovasi dan impak positif yang lebih besar di samping memacu kemampanan dan kemakmuran perniagaan jangka panjang.

Kilang minuman baharu F&N Beverages di Butterworth mula beroperasi pada Ogos 2025, menghasilkan air minuman dan minuman berkarbonat untuk pasaran utara Semenanjung Malaysia manakala pelaburan dalam ladang tenusu bersepadu F&N AgriValley mula membuahkan hasil melalui pengeluaran susu dan menuai hasil tanaman sepanjang tahun berkenaan.

Sementara itu, pembinaan kemudahan F&N Foods (Cambodia) Co Ltd kekal mengikut jadual untuk siap menjelang Mac 2026 bagi membolehkan pengeluaran tempatan dan kecekapan dari segi kos untuk Indochina.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan