WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOMARKCORP CADANG PENGURANGAN MODAL SAHAM RM149 JUTA IMBANGI KERUGIAN

22/01/2026 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Komarkcorp Bhd mengemukakan cadangan pengurangan modal saham bernilai RM148.70 juta bagi mengimbangi kerugian terkumpul yang ketara.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan pihaknya memutuskan untuk melaksanakan pengurangan modal saham tersebut tertakluk kepada Seksyen 117 Akta Syarikat 2016 berbanding dengan Seksyen 116 akta yang sama kerana kaedah itu secara perbandingan lebih cepat dan melibatkan kos lebih rendah.

Komarkcorp memaklumkan bagi peringkat kumpulan, pihaknya mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM118.36 juta setakat akhir September 2025.

Susulan pengurangan modal, syarikat itu dijangka merekodkan pendapatan tertahan berjumlah RM30.33 juta.

“Cadangan pengurangan modal saham ini akan membolehkan syarikat merasionalisasikan kedudukan kewangan dengan mengurangkan kerugian terkumpul supaya lebih mencerminkan nilai aset asas dan kedudukan kewangan.

“Selain itu, pengurangan kerugian terkumpul dijangka dapat meningkatkan kredibiliti syarikat dan kumpulan pada pandangan pihak bank, pelanggan, pembekal, pelabur serta pihak berkepentingan lain,” tambahnya.

Komarkcorp menjelaskan cadangan tersebut tidak akan menjejaskan pendapatan disatukan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026.

“Tanpa keadaan luar jangka, penggunaan hasil terbitan hak tertakluk kepada variasi cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta pendapatan sesaham kumpulan,” jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan