WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SERBU KONDOMINIUM DIJADIKAN MINI KASINO, TAHAN 18 INDIVIDU

23/01/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Polis menahan 14 lelaki dan empat wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sentul di sini semalam yang dijadikan mini kasino sejak November lepas.

Operasi bermula 10 malam itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul. 

JSJ Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan 18 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita warga asing masing-masing dari Vietnam dan Thailand ditahan dalam operasi terbabit.

“Operasi mini kasino itu tidak didalangi oleh mana-mana sindiket dan sasaran premis yang disewa itu adalah kenalan rapat atau jemputan tertentu bagi mengelak dikesan polis," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sebuah meja poker, lapan kerusi, 52 keping daun terup termasuk 625 cip pelbagai warna yang bernilai RM19,325. 

"Kesemua yang ditahan direman selama dua hari hingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan