WILAYAH - TIMUR > BERITA

RPTM 2026-2035 BUKA RUANG PERKUKUH AKSES, KUALITI DAN KEBAJIKAN PELAJAR - UMK

24/01/2026 12:08 PM

KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Pendekatan menyeluruh Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini membuka ruang baharu kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk memperkukuh akses, kualiti dan kebajikan mahasiswa.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata universiti itu komited melaksanakan lapan inisiatif utama dan semua dasar yang digariskan kerajaan secara terancang serta berkesan sebagai agensi pelaksana pendidikan tinggi awam.

Beliau berkata mengenai jaminan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar cemerlang, pihaknya menyokong sepenuhnya pendekatan berasaskan merit dan akan memastikan pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 yang memilih UMK sebagai pilihan pertama diberi peluang kemasukan tertakluk kepada syarat program ditetapkan.

Arham berkata UMK turut menyokong pengecualian yuran pengajian kepada mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai langkah memperkukuh pendidikan inklusif dan berkeadilan.

“Ketika ini, UMK mempunyai sebanyak 31 pelajar OKU dan universiti menanggung kos yuran pengajian mereka yang dianggar berjumlah kira-kira RM180,000 sepanjang tempoh pengajian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar, malah mencerminkan komitmen UMK memastikan kebolehcapaian, kebajikan dan keterangkuman pelajar OKU dalam keseluruhan ekosistem pembelajaran.

Mengulas penambahan 1,500 kursus pilihan berimpak tinggi, beliau berkata UMK bersedia menyokong inisiatif itu menerusi penawaran program dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), sains data, pengkomputeran, perbankan dan kewangan Islam, perakaunan, komunikasi, media digital serta pengajian bahasa.

Beliau berkata program berkenaan ditawarkan melalui empat fakulti utama UMK dan selari dengan keperluan ekonomi digital serta perubahan teknologi semasa, selain menyokong pembangunan siswazah berdaya saing dan relevan dengan industri.

Dalam pada itu, Arham berkata UMK menyambut baik penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam pembinaan penginapan pelajar bagi mengurangkan isu kekurangan tempat tinggal mahasiswa di IPTA.

Beliau berkata UMK kini mempunyai kira-kira 14,800 mahasiswa, namun hanya mampu menempatkan 6,157 pelajar di dalam kampus atau sekitar 42 peratus daripada keseluruhan enrolmen.

“Dengan inisiatif baharu ini, kapasiti penginapan pelajar diharap dapat ditingkatkan sekali gus memastikan keselesaan dan kebajikan mahasiswa lebih terjamin,” katanya.

Mengulas pemerkasaan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU), beliau berkata UMK menyokong rombakan kurikulum MPU yang memberi penekanan kepada pembinaan jati diri, penghayatan sejarah, Perlembagaan dan nilai kenegaraan.

Arham berkata pendekatan itu penting bagi melahirkan siswazah holistik yang bukan sahaja berkemahiran dan mudah mendapat pekerjaan, malah beretika serta memiliki identiti kebangsaan yang kukuh.

Sementara itu, UMK melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai rakan strategik kepada universiti melalui kerjasama dengan politeknik dan kolej komuniti bagi mewujudkan laluan pendidikan lebih fleksibel.

Menurut beliau, pendekatan itu mampu melahirkan tenaga kerja bukan sahaja di peringkat profesional, malah teknikal termasuk juruteknik dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, data raya dan robotik.

Secara keseluruhan, beliau berkata RPTM 2026-2035 menyediakan hala tuju jelas kepada transformasi pendidikan tinggi negara dan UMK komited menyokong pelaksanaannya selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda UMK30.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan