WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CADANGAN SUSUN SEMULA AHLI JAWATANKUASA TEKNIKAL MTPMA63 AKAN DIPERHALUSI - TPM FADILLAH

24/01/2026 03:27 PM

KUCHING, 24 Jan (Bernama) -- Cadangan untuk menyusun semula ahli Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan diperincikan sewaktu mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 berkata susulan rombakan kabinet pada 16 Dis tahun lepas, cadangan itu akan diperhalusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud. 

“Nanti saya akan perincikan dalam mesyuarat teknikal yang akan datang. Kita akan perincikan dan disebabkan baru perubahan lagi dari segi komposisi Kabinet, kita sudah ada kembali menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak (Mustapha). 

“Jadi beliau (Mustapha) akan memulakan mesyuarat, kemudian baru dibawa ke jawatankuasa peringkat teknikal sebelum kita bawa kepada majlis perundingan pada peringkat tertinggi MTPMA63,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE Malaysia 2025, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian supaya jawatankuasa MTPMA63 disusun semula bermula tahun ini, dengan melibatkan secara langsung Menteri Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi-agensi utama lain.

Fadillah berkata perbincangan berkaitan cadangan itu telah pun diadakan dan ketika ini, wakil daripada Kementerian Kewangan serta EPU terdiri daripada peringkat pegawai sememangnya terlibat dalam jawatankuasa berkenaan.

Mengenai isu lain berkaitan MA63, beliau berkata perbincangan mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih dalam proses dan melibatkan pentafsiran perundangan serta keperluan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Dari segi dasar dan prinsip, terdapat persetujuan terhadap penambahan kerusi Parlimen, namun realisasinya bergantung kepada hasil rundingan semasa.

“Kalau melibatkan penambahan kerusi Parlimen melebihi 25 peratus, itu memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen dan itulah cabaran utama. Engagement perlu dibuat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan