WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AS BERDEPAN PENUTUPAN SEBAHAGIAN KERAJAAN SUSULAN BANTAHAN DEMOKRAT TERHADAP PERUNTUKAN DHS

25/01/2026 09:24 PM

MOSCOW, 25 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kemungkinan berlaku penutupan sebahagian kerajaan di Amerika Syarikat (AS) meningkat secara mendadak berikutan bantahan ahli politik Demokrat terhadap peruntukan dana bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer berkata perkembangan itu berlaku susulan insiden tembakan maut terbaharu di Minnesota.

Gelombang protes baharu bermula pada Sabtu di Minneapolis, Minnesota, selepas seorang pegawai Peronda Sempadan menembak mati seorang lelaki yang menghampiri penguat kuasa undang-undang dengan senjata api semasa serbuan terhadap pendatang tanpa izin. Menurut DHS, pegawai berkenaan melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas gagal melucutkan senjata pendatang warga Venezuela itu.

"Apa yang berlaku di Minnesota amat mengerikan - dan tidak boleh diterima di mana-mana bandar raya Amerika. Demokrat menuntut reformasi yang munasabah dalam rang undang-undang perbelanjaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, namun disebabkan keengganan Republikan untuk menentang Presiden Trump, rang undang-undang DHS itu sangat tidak memadai untuk mengekang penyalahgunaan kuasa oleh ICE (Agensi Penguatkuasaan Imigeresen dan Kastam).

"Saya akan mengundi tidak. Ahli Senat Demokrat tidak akan memberikan undi untuk meneruskan rang undang-undang peruntukan jika rang undang-undang pembiayaan DHS dimasukkan sekali," kata Schumer menerusi hantaran di laman X.

Bagi mengelakkan penutupan sebahagian kerajaan, Senat mempunyai masa sehingga Jumaat ini dengan 60 undi diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan. Republikan, yang memegang 53 kerusi, memerlukan sekurang-kurangnya lapan undi daripada Demokrat untuk meluluskan langkah itu, memandangkan seorang ahli Republikan, Rand Paul, akan mengundi menentang.

Terdahulu, Presiden AS Donald Trump mengakui bahawa negara itu mungkin berdepan satu lagi penutupan kerajaan disebabkan ketiadaan persetujuan mengenai belanjawan.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan