WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BARAT BERDEPAN "KESAN BURUK" JIKA PENDUDUK PALESTIN DIUSIR DARI GAZA - AL-SISI

25/01/2026 10:24 PM

KAHERAH, 25 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden Mesir Abdel-Fattah Al-Sisi pada Sabtu memberi amaran bahawa pengusiran lebih dua juta penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza akan mencetuskan kesan keselamatan, ekonomi dan sosial yang buruk kepada Eropah serta dunia Barat, lapor Xinhua.

Bercakap semasa sambutan ulang tahun ke-74 Hari Polis Mesir, Al-Sisi berkata tindakan membawa keluar penduduk dari Gaza akan melenyapkan perjuangan Palestin serta mendorong ratusan ribu orang menuju ke Eropah dan negara-negara Barat.

Beliau memberi amaran bahawa perkara itu akan membawa kesan buruk yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana pihak.

Al-Sisi menegaskan keperluan untuk menghentikan amalan sistematik terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki, selain mengulangi pendirian Mesir yang menolak sebarang cubaan untuk mengusir mereka dari tanah air sendiri.

Beliau turut menggesa agar bantuan kemanusiaan ke Gaza disalurkan tanpa sebarang halangan, pelaksanaan penuh fasa kedua perjanjian gencatan senjata semasa, serta pembinaan semula segera di wilayah itu bagi menjamin kehidupan yang bermaruah untuk penduduknya.

Mesir sedang melakukan segala usaha bagi memastikan gencatan senjata dilaksanakan sepenuhnya dan komited untuk menggagalkan sebarang cubaan untuk mengelak daripada mematuhinya, kata Al-Sisi.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada tahun lepas mendedahkan pelan damai 20 perkara merangkumi tiga fasa, bertujuan menamatkan konflik Israel-Hamas yang meletus pada Oktober 2023.

Gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada Oktober 2025. Bagaimanapun, semasa fasa pertama perjanjian itu, kedua-dua pihak berulang kali saling menuduh berlaku pelanggaran syarat.

Awal bulan ini, pentadbiran Trump mengumumkan pelancaran fasa kedua pelan damai berkenaan, yang mengalihkan fokus daripada gencatan senjata kepada nyahtentera, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan