WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA BERHATI-HATI SOKONG CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA KEAMANAN BAGI GAZA - PM

20/01/2026 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum memberikan dukungan terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Keamanan bagi Gaza selagi serangan rejim Zionis Israel belum dihentikan dan bantuan kemanusiaan tidak dijamin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun Malaysia menyokong langkah-langkah untuk menjamin keamanan, beberapa isu telah membangkitkan kebimbangan terhadap komposisi dan mandat jawatankuasa berkenaan.

Ini termasuk berhubung kemungkinan penyertaan Perdana Menteri Israel dalam jawatankuasa itu dan penglibatan bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair, yang dianggap terlibat secara langsung dalam serangan ke atas Iraq selain mempunyai sikap tidak telus serta tidak adil dalam isu Palestin dan Gaza.

“Pada dasarnya, kita sokong langkah-langkah untuk menjamin keamanan tetapi kita juga ada beberapa pandangan tentang penubuhan jawatankuasa itu dan ahli-ahli yang terlibat... banyak pengumuman itu belum disahkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berhubung pendirian Malaysia terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan penubuhan Jawatankuasa Keamanan untuk Gaza.

Anwar juga berpandangan bahawa cadangan penubuhan jawatankuasa itu bukanlah penyelesaian munasabah selagi serangan Israel terhadap penduduk di Gaza masih berterusan.

“Perjanjian sudah dimeterai tetapi serangan rejim Zionis Israel masih berterusan... bagi saya, perkara pertama yang harus dilakukan ialah hentikan serangan... yang kedua, berikan laluan untuk ditambah bantuan makanan dan keselesaan hidup mereka.

“Ada usul umpamanya daripada Presiden Turkiye untuk memberikan kemudahan pembangunan perumahan besar-besaran tetapi perkara itu dihalang sampai hari ini... dihalang oleh Israel... jadi, maknanya ada perdamaian, (tetapi) makan minum tak terjamin.

"Jadi, sebab itu Malaysia agak berhati-hati sebelum memberikan dukungan terhadap usul ini,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata isu itu akan dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat ini, dan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) telah diminta mendapatkan senarai penuh keanggotaan jawatankuasa tersebut.

Selain itu, beliau berkata Malaysia turut berbincang dengan pemimpin dunia seperti Arab dan Turkiye untuk mendapatkan pandangan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan