WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISTERI BEKAS PTD DIDAKWA DI MAHKAMAH KUALA TERENGGANU HARI INI

26/01/2026 09:30 AM

KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Bernama) -- Isteri kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar@Kamaruddin, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.

Wanita berusia 27 tahun itu tiba sendiri di pekarangan mahkamah pada 8.25 pagi dengan berpakaian kemeja putih dan bertudung hitam, serta menggunakan kerusi roda untuk memasuki bangunan mahkamah kerana dilaporkan menghidap bisul kronik pada bahagian paha.

Pada Khamis (22 Jan) lepas, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000 dan dibenarkan diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin oleh Hakim Rosli Ahmad.

Pada 7 Jan lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Parasit menahan seorang pegawai kanan bersama dua isterinya berhubung siasatan terhadap projek perolehan tender Tentera Darat.

Keesokan harinya, pegawai berkenaan direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM terhadap kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan