ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 239 sekolah rendah dan menengah di Kedah menyediakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi menampung murid berkeperluan khas di negeri itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rahim Mat berkata secara keseluruhannya program berkenaan melibatkan 8,559 orang murid bagi 879 kelas.
Beliau berkata sebanyak 154 PPKI ditempatkan di sekolah rendah terdiri daripada masing-masing lima kelas penglihatan dan pendengaran, 463 kelas masalah pembelajaran dan dua kelas disleksia.
Selain itu, beliau berkata 85 PPKI lagi disediakan di sekolah menengah merangkumi empat kelas penglihatan, 15 kelas pendengaran dan 385 kelas masalah pembelajaran.
“Insya-Allah semua ini akan memberi manfaat kepada anak murid kita yang merupakan sebahagian daripada keutamaan kerajaan dan JPN Kedah.
“Kita pun ada perancangan untuk semua daerah ada PPKI, sebab penambahan pelajar bagi masalah pembelajaran ni nampaknya agak tinggi. Dalam senarai kita ada 10 daerah nak mohon, paling kurang satu bangunan satu daerah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan PPKI Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong dan serahan bantuan awal persekolahan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Bangunan PPKI SK Gunong bernilai lebih RM9.4 juta itu akan menempatkan lebih 30 pelajar masalah pembelajaran, dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran golongan berkeperluan khas.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berharap pihak sekolah dapat memanfaatkan segala kemudahan dan bangunan baharu yang disediakan.
“Kita harap kemudahan ini dijaga dengan baik dan laporkan sebarang kecacatan jika bumbung bocor, kerosakan tandas, sistem perparitan dan lain-lain kerana tindakan pembaikan segera dilakukan kontraktor dalam tempoh ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial