WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PORTFOLIO SUKUK IILM CECAH PARAS TERTINGGI US$6.65 BILION

28/01/2026 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini memaklumkan portfolio sukuk jangka pendek tertunggaknya telah mencecah paras tertinggi baharu US$6.65 bilion.

Dalam kenyataannya, penerbit utama dunia bagi instrumen pengurusan kecairan jangka pendek patuh Syariah itu berkata pencapaian itu hasil daripada penerbitan dan penerbitan semula sukuk jangka pendek berjumlah US$965 juta yang merangkumi tempoh matang masing-masing selama satu, tiga, enam dan 12 bulan dalam lelongan kedua IILM bagi Januari.

Menurutnya, ini meningkatkan jumlah penerbitan setakat bulan ke bulan kepada US$2.2 bilion yang juga jumlah bulanan kedua terbesar dalam sejarah IILM.

Empat siri itu ditetapkan pada kadar 3.90 peratus bagi US$385 juta (tempoh satu bulan), 3.92 peratus bagi US$380 juta (tiga bulan), 3.95 peratus bagi US$150 juta (enam bulan) dan 3.90 peratus bagi US$50 juta (selama 12 bulan).

“Lelongan itu menerima permintaan kukuh dan meluas daripada rangkaian Pengedar Utama IILM serta pelbagai pelabur institusi yang merentasi pelbagai bidang dengan jumlah bidaan mencecah US$2.173 bilion,” katanya.

Nisbah bidaan kepada liputan purata adalah 2.25 kali, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap instrumen kecairan Islam jangka pendek berkualiti tinggi terbitan IILM.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Safri Shahul Hamid berkata penerbitan itu jelas memaparkan momentum berterusan dalam mengembangkan serta mempelbagaikan asas aset IILM pada permulaan 2026.

“Permintaan yang kukuh dan meluas berteraskan permintaan dapat dilihat bagi semua tempoh terbabit dan memaparkan keyakinan berterusan pelabur terhadap instrumen Islam jangka pendek yang berkualiti tinggi dalam persekitaran ketidaktentuan makroekonomi, dasar dan serta jangkaan kadar faedah yang berubah-ubah.

“Hasil ini hanya mengesahkan lagi peranan IILM dalam usaha menyokong pengurusan kecairan Islam yang berkesan dengan menyediakan pasaran dengan elemen ketelusan, kepastian serta penerbitan berkala secara tetap dan boleh dijangka,” katanya.

Penerbitan itu juga menjadi sebahagian daripada program terbitan sukuk jangka pendek IILM berjumlah US$8.5 bilion dengan penarafan “A-1” daripada S&P dan “F1” oleh Fitch Ratings.

Sukuk jangka pendek IILM itu diedarkan oleh 16 pengedar utama global seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, AlRayan Bank, Boubyan Bank dan CIMB Islamic Bank Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan